Pau Fort Portella menunjukkan senarai calon yang dikirimkan oleh kedutaan kepadanya. — Gambar oleh Seth Akmal
Akhbar The Guardian pada 16 November lalu menggambarkan pilihan raya Catalonia kali ini sebagai kritikal kerana bakal menentukan masa depan Sepanyol dan Kesatuan Eropah (EU) itu sendiri kerana ia akan menentukan sama ada Catalonia akan terus kekal dalam Sepanyol atau menjadi negara merdeka.
Menurut Fort Portella pengundian bagi pengundi luar negara di kedutaan Sepanyol dijadualkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 23 November.
“Saya sudah berada hampir tiga bulan di Malaysia. Bulan lalu saya ke pejabat kedutaan untuk bertanya bagaimana untuk terlibat mengundi dalam pilihan raya Catalonia.
“Selepas menunjukkan passport, pihak kedutaan hanya meminta alamat di Malaysia untuk mereka kirimkan kertas undi, sampul kertas undi dan senarai parti serta calon yang bertanding.
“Semuanya telah dikirimkan ke rumah keluarga angkat saya empat hari lalu.
“Mereka hanya mengambil masa sebulan untuk memperoses semua ini,” kata Fort Portella yang ditemui oleh The Malaysian Insider.
Portella adalah diantara ramai lagi rakyat Sepanyol yang dibolehkan mengundi di luar negara walaupun mereka hanya berstatus pelancong.
“Bagi rakyat Sepanyol menetap di Kuala Lumpur, mereka boleh menghantar sampul kertas undi ke pejabat kedutaan.
“Bagi yang pelancong seperti saya, kertas undi perlu dihantar melalui pos dan jika sudah dicop hantar pada tarikh pengundian, kertas undi akan tetap dikira walaupun jika ianya sampai ke Sepanyol terlewat sedikit.
Sampul kertas undi sebelum dikirimkan melalui Pos. — Gambar oleh Seth Akmal
Malaysia sedang dalam proses untuk memperluaskan hak mengundi bagi rakyatnya yang menetap diluar negara.
Berdasarkan peraturan sedia ada, hanya penjawat awam, pegawai keselamatan dan pelajar Malaysia yang mengambil kursus sepenuh masa di luar negara dan berumur 21 dan ke atas dibenarkan mengundi.
Isnin lalu, Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke memberitahu bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memberikan “komitmen” untuk membenarkan pengundian di luar negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.
“SPR telah beri komitmen kepada rakyat Malaysia di luar negara untuk membenarkan mereka mengundi pada PRU Ke-13 nanti,” kata Loke kepada wartawan selepas selesai mesyuarat SPR dengan MP daripada kedua-dua belah parti.
Menurut Loke lagi, SPR ketika ini dalam proses akhir untuk melaksanakan kaedah tersebut dan bakal membentangkan penggubalan terhadap peraturan pilihan raya sedia ada.
SPR mungkin akan membentangkan penggubalan dalam tempoh dua minggu ini memandangkan sesi terakhir Parlimen tahun ini akan berakhir pada minggu depan.
Salah satu syarat dicadangkan kepada pengundian luar negara adalah rakyat Malaysia tersebut perlu pulang ke negara sekali setiap lima tahun.
SPR juga berkata mereka akan memberikan taklimat kepada parti politik di luar negara tentang mekanisma pengundian Disember ini, tambah Loke lagi.
Julai lalu, My Overseas Vote (MOV) mendakwa rakyat Malaysia di luar negara tidak mungkin dapat mengundi jika SPR tidak menggubal undang-undang terhadap pengundi berdaftar dan pengundi pos.
Pau Fort Portella beratur di kaunter Pos Laju untuk mengirimkan undinya. — Gambar oleh Seth Akmal
Tiada ulasan:
Catat Ulasan