TERKINI
"Kita dah siasat, kesemua tanah ini berada di tempat komersial dan strategik. Nilainya adalah melebihi RM20 juta lebih.
"Ini buktikan semua tanah ini dibolot untuk kroni dan dana Umno sahaja. Mereka semata-mata mahu mengaut keuntungan berganda," kata beliau.
ADUN DAP itu turut membidas kenyataan oleh Adun Kuang, Abdul Shukur Idrus sebagai penipuan kerana mengatakan kesemua tanah itu adalah untuk kegunaan awam seperti dewan serbaguna dan tadika.
"Sebagai contoh ialah sebuah tanah di pekan Sekinchan, PT179 HSD 1768 seluas 874.12 persegi (9 ribu kaki persegi). Sekarang tanah ini memiliki lima unit kedai tiga tingkat yang dijual ratusan ribu.
"Soalnya disini, dimananya dewan serbaguna dan tadika seperti yang dikatakan Adun Kuang?," soal Ng.
Selain itu, Ng juga mendedahkan Umno telah menjual sekeping tanah di bandar Tanjung Karang (PT115, HSD 10440) kepada sebuah syarikat Bumi Utama Building and Material Sdn. Bhd. yang kemudiaannya telah membangunkan bangunan perniagaan.
Dalam sidang media bersama di lobi Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Shuhaimi Shafiei turut mendakwa Umno berusaha cuba mengelirukan rakyat dan berbohong.
"Abdul Shukur cuba tegakkan benang yang basah kerana beliau katakan untuk membina dewan dan tadika.
"Ia tidak ada langsung, yang dipohon waktu itu adalah membina pusat belia. Tetapi apa yang berlaku ialah dikawasan itu ialah pembinaan kondominium," terang Shuhaimi lagi.
Selasa lalu, The Malaysian Insider melaporkan pemimpin PR negeri Selangor mendedahkan berlakunya “projek sapu tanah” oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor yang melibatkan 24 keping tanah di negeri berkenaan.
“Ada 24 keping tanah di seluruh Selangor yang dimohon bukan sahaja oleh Umno, tetapi juga kesemua parti komponen BN seperti MCA, MIC, termasuk Gerakan.
“Daripada jumlah itu, 14 dimiliki Umno, lima milik MCA, tiga milik MIC, dan satu milik Gerakan,” kata Adun Sekinchan itu ketika sidang media di lobi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.
Jelas beliau, perkara itu berlaku antara 2000 hingga 2008, yang ketika itu Selangor diketuai oleh Dr Khir Toyo selaku menteri besar, sebelum negeri berkenaan tewas pada Pilihan Raya Umum 2008 kepada PR.
Ekoran pendedahan tersebut, Abdul Shukur menafikan bahawa Umno menyalahgunakan kuasa mendapatkan tanah kerajaan negeri untuk orang awam, sebagai parti yang mewakili rakyat.
Kesemua 24 plot tanah di Selangor — yang dikatakan milik parti komponen BN dan bekas presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu semasa mereka memerintah — adalah untuk kegunaan awam seperti dewan serbaguna dan tadika, kata Abdul Shukur.
"Umno juga adalah rakyat, Umno mewakili 400,000 rakyat di Selangor. (Plot tanah) ini bukan untuk individu, ini untuk satu pertubuhan yang ramai.
"Tak boleh Umno gunakan tanah terbabit untuk kepentingan rakyat?" katanya, sebagai membalas kenyataan penyokong PR dalam sidang Dun Selangor yang menuduh BN terlibat dalam menyeleweng plot tanah ketika berkuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan