HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Disember 2012

Jalan ke Putrajaya terbuka luas

fmt 
 
Keyakinan ini berdasarkan lebih 20,000 penyokong hadir pada Perhimpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Kedah di Alor Setar malam tadi. 



ALOR SETAR: Memandangkan lebih 20,000 penyokong dan rakyat hadir memenuhi Stadium Sultan Abdul Halim pada Perhimpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Kedah di sini malam tadi maka laluan ke Putrajaya nampak semakin terbuka dengan lebih luas.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak adalah pemimpin utama yang berucap di samping Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang menjadi pengarah himpunan ini.

Selain memberikan ucapan, mereka juga mendengar ikrar dari wakil PAS, PKR dan DAP yang berjanji untuk memberikan kesetiaan kepada Pakatan Rakyat dan berjanji untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi mempastikan laluan mudah ke Putrajaya.

“Saya berjanji akan berbuat apa saja untuk menaikkan martabat Islam dan orang Melayu di negara ini apabila berada di Putrajaya nanti. Saya berkata ini di depan semua pihak termasuk Cina dan India,” kata Anwar dalam ucapannya yang dipetik dari portal berita kedahlanie.

Anwar menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa tidak mungkin untuk PAS dan PKR untuk meminggirkan Melayu sebagaimana dituduh Umno.

Lim Kit Siang pula berkata, Umno di depan orang Melayu akan berkata, DAP akan memimpin negara ini dan menjadikan Malaysia negara Kristian. MCA pula di depan orang Cina berkata PAS akan menjadikan Malaysia negara Islam. Semua ini adalah cara nak pecah belah.

Beliau juga mempersoal apakah sebenarnya yang diminta maaf oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Adakah kerana menjadikan Malaysia negara yang paling korup di kalangan perdana menteri Malaysia yang ada,” kata beliau mengulas indeks korupsi negara yang sedikit menurun tetapi masih tertinggi berbanding indeks korupsi Malaysia di bawah perdana menteri yang lain.

Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Kedah ini adalah yang ke empat selepas Seremban, Kota Baharu dan Batu Pahat, Johor.

Hari ini himpunan akan diadakan di Melaka, Ahad ini di Kerdau, Pahang serta 14 dan 15 Disember ini di Paka, Terengganu.

Tiada ulasan: