HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Disember 2012

Pakatan: Ucapan dasar AGM petanda Umno tak yakin hadapi PRU

RUZY ADILA IDRIS

Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
 
SHAH ALAM – Mesej ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno mencerminkan Umno masih tidak cukup yakin untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tetapi terpaksa mengharungi juga kerana masa yang  tinggal sangat terhad, kata komponen Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, berdasarkan laporan daripada rangkaian-rangkaian Pas dalam Umno sendiri mengakui bahawa di peringkat akar umbi Umno, parti itu belum bersedia.

“Pas pun ada ‘networking’ dalam Umno, sama seperti mereka juga yang ada ‘networking’ dalam Pas yang memberikan laporan-laporan semasa.

“Kita tahu apa yang mereka lakukan dan hadapi ketika ini….. mereka tidak yakin, tetapi terpaksa hadapi juga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa ucapan dasar dan mesej oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta sayap parti itu yang bersedia melancarkan serangan bagi menghadapi PRU13 nanti.

Katanya, walaupun Najib cuba membakar semangat ahli-ahli Umno ketika ini dengan ucapan-ucapan dasar beliau itu, tetapi bagi Mustafa perkara itu sudah terlewat.

Tambah Mustafa, mesej-mesej yang disampaikan itu sekadar taktik Umno untuk menarik perhatian pengundi di kala pilihan raya yang hampir tiba.

“Umno terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk menarik perhatian ramai. Sesiapa pun boleh cakap kuat, sama ada dalam muktamar ataupun perhimpunan seperti Perhimpunan Agung Umno.

“Tetapi ucapan bukan ukuran untuk menentukan keputusannya, sebaliknya persiapan di peringkat akar umbi itulah yang bakal memberikan segala perkara yang sebenar-benarnya,” jelas beliau lagi.

Mengulas perkara sama Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty pula meyifatkan pada ketika ini tidak ada perkara yang boleh menjejaskan partinya ataupun Pakatan Rakyat (PR) dalam mengahadapi PRU13.

Malah katanya, ucapan-ucapan yang disampaikan pada Perhimpunan Agung Umno langsung tidak melambangkan ciri-ciri sebagai seorang negarawan.

“Sebagai seorang negarawan, Najib tidak wajar mengancam rakyat dengan ketakutan bahawa negara akan muflis jika ditadbir oleh PR dan seolah-olah hanya Umno layak mentadbir negara.

“Beliau (Najib) mahu rakyat menyokong Umno dan Barisan Nasioanal (BN) untuk menyelamatkan negara. Yang sebenarnya, beliau mahu menyelamatkan parti itu dari terus terkubur,” katanya lagi.

Muhammad menambah, Umno dan BN kini berada di penghujung jalan dan telah ditolak oleh rakyat.

Katanya lagi, ucapan-capan dan mesej-mesej yang disampaikan pada Perhimpunan Agung Umno kali ini adalah ucapan-ucapan lama yang disajikan semula untuk menimbulkan kembali semangat ahli-ahli Umno yang sudah kehilangan semangat.

“Sepatutnya ucapan-ucapan yang dilontarkan lebih bertanggungjawab termasuk untuk memastikan negara tidak terjerumus ke tahap bangkrupan dan membentangkan bagaimana cara untuk memacu ekonomi negara yang sudah terkebelakangan berbanding Indonesia dan Filipina.

“Tetapi jika lakukan itu juga sudah tidak guna…. sudah terlewat kerana rakyat sudah membuat keputusan, cuma menunggu pilihan raya sahaja,” katanya lagi.

Tiada ulasan: