SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA)
bersetuju dengan saranan syarikat-syarikat bas agar kerajaan menaikkan
tambang bas sebanyak 30 peratus untuk mengelak syarikat terbabit
mengalami kerugian sehingga terpaksa menamatkan operasi mereka.
Presiden PMBOA, Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, cadangan yang
dikemukakan Pengarah Urusan Konsortium Transnasional Sdn Bhd Datuk Seri
Mohd Nadzmi Salleh mempunyai asas yang kukuh kerana realitinya pengusaha
bas menanggung kos yang
tinggi dalam operasi perkhidmatan bas yang membabitkan penyelengaraan, kos tayar, tol, casis dan gaji pemandu.
Beliau mengulas kenyataan Mohd Nadzmi yang mencadangkan kerajaan untuk
mengkaji semula struktur tambang bas sebanyak 30 peratus ekoran kos
penyelenggaraan dan harian bas yang semakin meningkat sekarang.
Mohamad Ashfar berkata, PMBOA telah pun menghantar satu memorandum yang
mengandungi 15 cadangan pada 30 Julai lepas kepada Kementerian Kewangan
untuk perhatian Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib
Tun Razak.
"Kami antara lain mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan polisi
pengangkutan awam darat nasional dan menaikkan tambang bas sebanyak 30
peratus ekoran kos operasi bas yang semakin meningkat sekarang," katanya
kepada Bernama di sini.
Cadangan berkenaan bertujuan membantu pengusaha bas ekspres dan
henti-henti di negara ini daripada mengalami kerugian serta memastikan
kebajikan pekerja terpelihara, kata Mohamad Ashfar.
Beliau berkata, memorandum itu turut dihantar kepada Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada tarikh yang sama tetapi sehingga
hari ini, PMBOA masih belum menerima sebarang maklum balas dari pihak
terbabit.
Menurutnya, kali terakhir kerajaan menaikkan tambang bas ialah pada
2008 dan sejak itu industri bas terpaksa berdepan dengan peningkatan kos
termasuk penyelengaraan, kos tayar, tol, casis dan gaji pemandu.
Cadangan lain yang dibangkitkan PMBOA dalam memorandum itu ialah
melanjutkan jangka hayat perkhidmatan bas ekspres selama 10 tahun, dan
15 tahun bagi bas henti-henti, selain membekukan pengeluaran permit
kepada pengusaha baharu untuk tempoh tiga tahun, katanya.
Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung
Malaysia (TWU) Tan Sri Zainal Rampak pula berkata, beliau menyokong
cadangan PMBOA itu dan meminta kerajaan mempertimbang pengecualian cukai
untuk pembelian alat-alat ganti bas dan pembelian bas baru kerana buat
masa ini kos-kos berkenaan adalah tinggi dan ia membebankan pengusaha
bas.
"Sekiranya tiada pengecualian cukai atau insentif lain disediakan
kerajaan, agak sukar syarikat-syarikat bas untuk bertahan dan menanggung
kos harian tinggi berbanding hasil keuntungan yang rendah akibat
kekurangan penumpang," katanya.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Muhammad
Shaani Abdullah berkata, jika kerajaan bersetuju untuk menaikkan tambang
bas, Fomca berharap pengguna tidak menjadi mangsa keadaan dan terpaksa
membayar tambang bas terlalu tinggi.
"Perkhidmatan bas di seluruh negara masih di tahap yang tidak memuaskan
maka semua pihak perlu menyelesaikan masalah ini," katanya.
Beliau bersetuju dengan cadangan untuk menaikkan tambang bas bagi
menampung inflasi dan kenaikan kos tetapi ia harus dilakukan secara
berhemah.
"Pengguna juga mempunyai hak untuk mendapat perkhidmatan bas yang baik
kerana antara aduan pengguna yang diterima Fomca adalah sikap pemandu
bas yang kasar terhadap penumpang, tiada kemudahan untuk golongan
kelainan upaya (OKU), dan perkhidmatan bas yang tidak mengikut jadual,"
kata Muhammad Shaani. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan