Oleh: Rusnizam Mahat
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu
membubarkan parlimen segera bagi mengelakkan lebih banyak kekeliruan
khasnya di kalangan rakyat, kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari.
Ini kerana Dewan Undangan Negeri Sembilan kini menjadi DUN pertama
terbubar secara automatik, sedangkan parlimen masih belum dibubarkan.
Keadaan itu, kata Aziz, menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ‘terkial-kial’ berhadapan situasi seperti itu.
Semalam, Mohamad berkata, DUN Negeri Sembilan akan terbubar secara
automatik pada Khamis 28 Mac ini, sekiranya tiada pembubaran DUN berlaku
pada Rabu, 27 Mac.
Mohamad berkata, kerajaan negeri menggunapakai Akta Interpretasi 1984
dan 1967 bagi menentukan tarikh DUN dibubar secara automatik, di mana
DUN di negeri itu kali pertama bersidang pada 25 Mac 2008.
Bagaimanapun menurut Aziz, beliau hairan dengan keputusan itu,
sedangkan perlembagaan jelas menyebut DUN akan terbubar sendirinya
setelah genap tempoh lima tahun bersidang.
“Saya berasa aneh tentang perlunya MB Negeri Sembilan merujuk kepada
Akta Tafsiran 1967. Rujukan ini hanya perlu sekiranya ada kesamaran.
“Tempoh lima tahun itu jelas disebut oleh perlembagaan, dikira dari sidang pertama dewan selepas PRU. Apa yang tak jelas disini?
“Kita kena ingat perlembagaan mengatasi undang-undang lain; termasuk undang-undang bertulis bernama Akta Tafsiran 1967 itu.
“Najib kena bubar cepat. Sebab kalau tidak akan keliru; dan Mohamad
Hasan ini sudah terkial-kial. Kenapa Najib biarkan MB dia terkial-kial
dan malu begitu?,” soal bekas Pensyarah
Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa itu lagi.
Mengulas mengenai penubuhan kerajaan sementara di Negeri Sembilan,
Aziz berkata Yam Tuan Besar boleh melantik Mohamad Hasan semula sebagai
menteri besar.
Katanya, meskipun ia tidak dijelaskan dalam Undang-Undang Tubuh
Kerajaan Negeri, istana perlu menunjukkan keprihatinan terhadap perkara
itu bagi memenuhi amalan tersebut.
“Kuasa itu ditentukan oleh Yamtuan; atau kalau di peringkat
persekutuan Yang Di Pertuan Agong. Atau Sultan atau Yang di Pertua
Negeri kalau di negeri lain.
“Yamtuan – atau Agong – perlu lantik kerajaan untuk memberi nasihat
kepada baginda. Dalam bahasa biasa menjalankan rutin pentadbiran.
“Ketua negeri atau ketua negara mesti sentiasa ada kerajaan untuk
memberi nasihat. Ini tidak boleh dilambat-lambatkan,” katanya ketika
dihubungi.
Secara prinsip, katanya, sesiapa sahaja boleh dilantik mengetuai
kerajaan sementara ini. Ia katanya, menjadi amalan biasa di negara yang
mengamalkan sistem kerajaan berpelembagaan atau westminster lain.
Malah kata Aziz, tanpa penubuhan kerajaan sementara pun, pentadbiran
negara atau negeri masih boleh dijalankan seperti biasa oleh penjawat
awam sedia ada.
“Saya fikir pentadbiran negara boleh berjalan macam biasa. Ketua
Setiausaha Negara kan ada, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis
Negara pun ada. Apa yang susah sangat?,” soalnya.
Dengan kata lain, katanya, perdana menteri atau menteri besar boleh
mengundurkan diri jika mandat yang diberi kepada mereka berakhir. Ini
sekaligus mengelakkan sebarang salahgunakuasa, khasnya membabitkan
jentera kerajaan ketika pilihan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan