Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu
jelaskan perincian tender pembinaan keretapi laju menghubungkan Kuala
Lumpur-Singapura kerana bidaan projek itu diragui tanpa melalui tender
terbuka.
Ini berikutan laporan menyatakan kerajaan Johor dan jutawan, Tan Sri
Syed Mokhtar Al-Bukhary akan bersaing bagi merebut projek tersebut.
Perdana Menteri mengumumkan projek bernilai antara RM20 bilion hingga
RM30 bilion itu pada 19 Februari lalu, selepas mengadakan pertemuan
dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Turut bersaing merebut projek itu, YTL Corporation, syarikat milik
Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay dan Hartasuma Sdn Bhd milik Tan Sri Ravindron
Menon, Ahli Lembaga Pengarah Lebuhraya Utara Selatan (Plus).
Mengulas laporan tersebut, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk
Johari Abdul mahu kerajaan bentangkan perincian proses tender itu.
“Najib perlu jelaskan sama ada tender kontrak tersebut dibuat secara
terbuka atau hanya kepada kroni jemputan? Berdasarkan laporan syarikat
yang bersaing, didapati ia hanya di kalangan jemputan,” katanya ketika
dihubungi.
“Di sini sudah terang lagi bersuluh tender dibuka kepada kroni,” sinis Johari.
Ahli Parlimen Sungai Petani itu mempersoal pengumuman projek itu yang menurutnya dibuat tanpa perbahasan di Parlimen.
“Pengumuman dibuat secara tiba-tiba dan tak pernah dibawa sidang
Parlimen. Adakah ia melibatkan wang negara atau projek persendirian? Apa
kepentingan projek itu sedangkan banyak lagi prasarana negara mengalami
masalah,” kata Johari.
Syed Mokhtar memiliki beberapa pelabuhan menerusi syarikatnya, MMC
Corporation Bhd termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor.
Beliau turut memiliki saham sebanyak 22.7% dalam Malakoff Berhad
iaitu syarikat pembekalan elektrik dan gas Malaysia serta 20% pegangan
dalam IJM Corporation Berhad dalam sektor pembuatan.
MMC Corp ketika ini sedang bekerjasama dengan Gamuda Bhd dalam projek
Mass Rapid Transit (MRT), projek keretapi terbesar di Lembah Klang
dijangka siap 2017.
Syed Mokhtar juga merupakan pemilik Syarikat Gulf International
Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek
Hidro Elektrik Bakun.
Menerusi syarikat DRB-Hicom Bhd (DRB) miliknya, beliau membeli
syarikat kereta Lotus dari Proton Holding Bhd pada harga RM1.29 bilion
selain memiliki 32.21% saham dalam Pos Malaysia Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan