Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com, |
Pilihan raya umum yang lalu menyerlahkan kehadiran pengundi muda, sekitar 40%, di mana mereka kelihatan mereka hampir mendominasi aliran pengundian, terutama di kawasan bandar dan separuh bandar. Ini sudah banyak kali diperkatakan oleh penganalisis.
Kebanyakan tempat mengundi di saluran 6 dan 7 (pengundi muda) di bandar dan semi bandar itu kelihatan berbaris panjang, ada yang berbaris lebih dua jam untuk mengundi, termasuk cucu saya yang pertama kali mengundi.
Saya mendapat SMS dan telefon dari ramai sahabat pada hari mengundi, mengatakan begitu ramai anak muda balik mengundi. Di Kelantan saja, kata mereka, ribuan anak muda pulang mengundi, demikian juga di negeri lain.
Sementara itu, ratusan ribu warga Malaysia yang bekerja d Singapura pulang mengundi menyebabkan kesesakan di Tambak Johor dan Link-Kedua di Gelang Patah dua hari lamanya kerana pengundi yang pulang, bukan saja untuk mengundi di sekitar negeri Johor, bahkan ke negeri lain.
Apakah mesej semuanya ini?
Jika kita menilai] secara objektif, tentu sekali mesejnya ialah kebangkitan pengundi muda dalam PRU kali ini yang aliran pengundian mereka membantu kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU yang lalu. Oleh itu, apa yang penting, malah amat penting, difikirkan oleh pendukung PAS, PKR dan DAP ialah menerima hakikat bahawa golongan muda menjadi faktor amat penting dalam warna dan watak politik masa depan negara.
Sebarang pemikiran yang menafikan peranan penting golongan muda ini akan menyebabkan semua parti politik dalam Pakatan akan menghadapi masalah besar dan mengalami jalan sukar untuk menghadapi PRU akan datang.
Oleh itu kepimpinan Pakatan Rakyat yang lama dan baru mestilah mengambil kira sentuhan golongan muda ini, justeru golongan muda adalah masa depan politik Malaysia.
Dalam hal ini, betapapun teguh dan murninya konsep dan falsafah perjuangan sesebuah parti dalam Pakatan dan betapapun lama usianya, tetapi ia banyak bergantung kepada suasana persekitaran dan mood rakyat. Jika semua parti dalam Pakatan menyedari hakikat suasana terkini dalam masyarakat, maka hayat Pakatan Rakyat akan panjang dan mampu memenangi hati nurani rakyat.
Antara lain, tentunya Pakatan Rakyat perlu dilihat bersama aspirasi golongan muda. Jika Pakatan Rakyat dilihat terpisah dengan masyarakat masa kini, khususnya golongan muda, betapapun luhur perjuangannya, nescaya golongan muda akan menjauhi mereka dan ini sangat bahaya kepada nasib masa depan Pakatan.
Oleh itu, pemimpin Pakatan – baik PAS, PKR dan DAP, yang seda ada sekarang dan akan dipilih dalam pemilihan parti masing-masing akan datang amat perlu menghayati perkembangan ini, bahawa mereka perlu diterima oleh golongan muda. Di samping itu, ia mestilah dilihat mempunyai integriti dan keupayaan memimpin negara.
Kini, pemimpin Pakatan tidak boleh lagi sekedar berfikir sekitar lingkungan parti masing-masing saja, betapapun unggulnya sesebuah parti itu dengan perjuangannya, tetapi ia mesti berfikir secara kolektif sebagai pemimpin dan anggota Pakatan Rakyat. Sikap ini tidak semestinya mengurangkan ‘nilai kesayangan’ pendukung untuk mempertahankan parti masing-masing.
Semuanya mesti mempunyai sikap di mana susah dan senang bersama Pakatan, mendaki dan menurun bukit bersama Pakatan, bertanding dalam PRU akan datang dengan sikap melaksanakan tahalluf-siasasi yang sebenar-benarnya.
Sementara itu, dengan kejayaan Pakatan Selangor yang menang majoriti dua pertiga, di mana PAS menjadi peneraju utamanya telah tampil menjadi role model politik Malaysia. Ini kerana demografi negeri itu demikan rupa, negeri pelbagai kaum dan agama terbesar di Malaysia, terkaya dan ternama pula.
Namun dengan kepimpinannya yang dilihat releven dan berintegriti, ditambah dengan gerak kerja yang padu, strategi yang tepat, calon yang berwibawa, menyebabkan keajayaan PAS Selangor sangat mengejutkan semua pihak.
Bagaimanapun prestasi PAS Terengganu yang mendapat kejayaan dalam PRU kali ini, di mana hanya kekurangan dua kerusi untuk memerintah negeri, menunjukkan kejayaannya mempunyai erti yang besar. Ia masih mampu untuk bangun kembali setelah kalah dalam dua PRU yang lalu.
Tentunya ini menampakkan keazaman dan gerak kerja serta istiqamah pendukungnya kepada perjuangan PAS. Allah telah mengurniakan kemenangan ini. Semoga dalam PRU akan datang, PAS/Pakatan Rakyat akan dapat menawan kembali negeri Terengganu.
Ini pengajaran yang baik bagi negeri atau kawasan yang kalah, di mana kekalahan bukan end-road kepada perjuangan ini. PAS/Pakatan Kedah yang kalah teruk kali ini, Insya-Allah boleh bangun kembali dengan melakukan pembaikan dan mengatur strategi yang tepat, memahami kedudukan dan kekuatan musuh untuk mengatur kekuatan mengalahkan mereka dalam PRU akan datang. Dunia belum lagi kiamat.
Sementara itu, seperti saya sebutkan di atas, bahawa sokongan generasi muda kepada PAS/Pakatan amat penting. Oleh itu, tentu sangat wajar pihak PAS semua peringkat mengkaji kedudukan kemasukan ahli baru PAS.
Memang sangat dialu-alukan kemasukan ramai para tokoh ternama pelbagai lapangan hidup – bekas pegawai tentera, pegawai awam kerajaan, ahli korporat, ahli sukan, malah para artis dan lain-lain.
Tetapi dalam masa yang sama juga PAS mestilah berusaha mendapatkan ahli baru, khususnya golongan muda. Kekuatan masa depan PAS sangat bergantung kepada generasi muda ini, justeru mereka adalah masa depan politik negara ini. Mereka boleh berganding bahu dengan generasi lama dalam PAS yang amat setia, untuk melaksanakan gerak kerja bagi mencapai kemenangan di masa depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan