Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, Shamsul Iskandar menggunakan platform yang betul untuk menyuarakan pandangannya di hadapan ahli kongres dan bukannya membuat kenyataan media secara peribadi.
“Saya berpendapat, ucapan Shamsul itu secara tidak langsung bersikap terbuka dan mahu menegur untuk kebaikan bersama.
“Kita tidak mahu jadi seperti Barisan Nasional (BN) yang tidak berani menegur kepimpinan atasan sebaliknya berharap PR menjadi satu kesatuan yang saling hormat menghormati dan tegur menegur agar pertikaian dapat diselesaikan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, ketika diminta mengulas laporan muka depan Sinar Harian semalam mengenai kekecewaan Pemuda Pas berkaitan kenyataan Shamsul Iskandar yang didakwa mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Azmizam berkata, tindakan Shamsul Iskandar itu sepatutnya dilihat dari sudut positif dan dijadikan tauladan pada masa akan datang.
“Teguran itu bukan bermaksud AMK tidak suka kepada Abdul Hadi, tetapi jika dilihat beliau yang lebih dahulu telah menegur PKR berkenaan beberapa perkara.
“Jadi isu tegur menegur ini sepatutnya tidak menjadi pertikaian. Ia untuk kebaikan semua parti komponen PR,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan parti komponen dalam PR supaya tidak mendabik dada sebaliknya berganding bahu memberi yang terbaik untuk rakyat.
“Kita tidak boleh kata parti A, B atau C yang menyumbang kemenangan pada PRU13 sebaliknya ia adalah bukti semangat rakyat yang memberi sokongan dan percaya kepada PKR, DAP dan Pas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Habullah Mohd Ridzwan berkata, beliau tidak menganggapnya pertikaian antara Shamsul Iskandar dan Bendahari Pas, Khairil Nizam Khirudin sebagai pergaduhan malah ia lebih kepada nasihat menasihati antara satu sama lain.
“Tiada pergaduhan, cuma lontaran rasa hati kedua-dua belah pihak . Insya-Allah ada pendamaiannya nanti.” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan