HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Mei 2013

Najib: Gadis, wanita bantu pacu pelaburan negara

SINAR HARIAN

Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
 
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelaburan dalam pendidikan, kesihatan, keselamatan, hak dan kebebasan kewangan gadis dan wanita bukan sahaja membawa pulangan tetapi juga satu pelaburan bijak.

Beliau berkata tidak dinafikan terdapat nilai dalam pelaburan sedemikian memandangkan apabila gadis dan wanita diupayakan, manfaatnya akan berlanjutan menjangkaui individu berkenaan.

"Bebas daripada kekangan ketidaksamaan yang luar biasa, wanita boleh merealisasikan potensi mereka sebagai peserta yang aktif dalam komuniti dan di dunia," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Global Women Deliver 2013 kali ketiga, di sini hari ini.

Najib menghuraikan tentang komitmen kerajaan bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan gadis serta wanita di negara ini dilihat sebagai satu keutamaan, bukannya difikirkan kemudahan.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan yang baru dipilih semula ini turut membawa bersama komitmen baharu dan ditingkatkan untuk mengupayakan wanita dan gadis dalam usaha memacu pertumbuhan negara ke hadapan.

Najib berkata sambil Malaysia berusaha ke arah menjadi negara maju menjelang akhir dekad ini, cabarannya adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara benar-benar bersifat inklusif dengan peluang diwujudkan dan dibuka kepada semua warganegara, dan wanita diberi hak, rasa hormat dan peluang yang sama seperti lelaki.
  
"Ini tidak akan berlaku di peringkat atasan dan turun ke bawah, perubahan mesti berlaku di tempat kerja, di kampung, dalam minda semua rakyat Malaysia," katanya.
  
Beliau menegaskan penyokong dan pakar kesihatan mesti bersedia untuk melibatkan diri dalam dialog bersama ketua agama untuk melenyapkan tanggapan negatif berhubung perkara berkaitan kesihatan gadis dan wanita.
  
Wanita dan gadis, katanya, mesti diupayakan untuk membuat pilihan berdasarkan maklumat dan memikul sendiri tanggungjawab terhadap kesihatan mereka dalam lingkungan struktur masyarakat yang menggalakkannya.
  
Perdana menteri berkata masalah seperti kehamilan remaja, pembuangan bayi, kahwin muda dan penyakit jangkitan seksual perlu ditangani tanpa sebarang stigma atau diskriminasi. - Bernama

Tiada ulasan: