Oleh Zahiruddin Zabidi
Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme (2009) adalah buku karangan Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar.
Buku tersebut diterbitkan pada tahun 2010 oleh The Malaysian Insider Sdn Bhd.
Pada tahun 2012, sebuah lagi buku sebagai kesinambungan buku yang pertama itu pula terbit dengan tajuk Rejuvenasi PAS: Idea, Realiti, Aplikasi ke Arah Aspirasi Masa (2012) terbitan Ilham Centre.
Sebelum kedua buah buku Dr Mujahid ini terbit, sebuah buku dwibahasa berjudul Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia
(2009) terlebih dahulu diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara
Malaysia - ITBN (kini dikenali sebagai Institut Terjemahan & Buku
Malaysia - ITBM).
Pengarangnya adalah Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau pada masa itu merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno merangkap ahli
Parlimen Temerloh dan merupakan timbalan menteri Kementerian
Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Istimewanya
ketiga-tiga buku ini, ia ditulis oleh politikus yang merupakan pimpinan
tertinggi parti masing-masing dan merupakan ahli parlimen dalam masa
yang sama.
Kedua-duanya juga agak aktif menulis di media massa
sehingga sekarang sama ada atas talian atau cetak, meskipun kini
Saifuddin tidak lagi bergelar YB kerana tewas kepada Ketua Pemuda PAS
Nasruddin Hassan pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu.
Mujahid dan Saifuddin
Mereka
tidak perlu diperkenalkan lagi kepada mereka yang mengikuti
perkembangan politik tanah air khususnya bagi ahli PAS dan Umno.
Masing-masing punya kekuatan dan kelebihan ketara berbanding dengan
pimpinan lain dalam parti masing-masing dalam beberapa aspek.
Antaranya daya ketahanan yang sudah teruji di medan aktivisme politik dan intelektual.
Kedua,
penulis buku itu selain ahli politik sepenuh masa, mereka juga
aktivis, sekali gus pekerja intelektual di universiti sebelum terjun
membawa gagasan dan idealisme politik ilmu dalam parti masing-masing.
Maka
tidak hairan, dalam apa jua program wacana, perdebatan yang kritikal
dan memerlukan daya analisis dan penghujahan yang kritis serta
bersangkut dengan realiti politik tanah air dan antarabangsa, wajah
kedua penulis inilah yang kerap kelihatan.
Pendekatan
politik mereka berdua juga berjaya menarik minat anak muda khususnya
siswa bagi membincangkan politik bukan atas nilai sentimen dan
ikut-ikutan namun lebih kepada politik yang berbumbu asas kepada ilmu
yang dianalisis rencam.
Ia sebagaimana layaknya seorang siswa
universiti yang wajar berfikir dalam setiap apa isu. Sementelah
universiti adalah taman tumbesaran dan pengasahan pemikiran para siswa
bukan sebaliknya.
Justeru buku-buku itu - Menuju PAS Baru I dan II serta Politik Baru - sarat dengan analisis dan pemikiran menyangkut situasi realiti yang berlaku dalam parti masing-masing.
Tidak
ramai ahli malah pimpinan yang sudi meluangkan masa berfikir apatah
lagi menulis sesuatu idea besar dan konstruktif kepada organisasi mereka
melainkan benar-benar mempunyai desakan kuat dari dalam diri.
Ini
kerana menulis adalah kerja berfikir yang memerlukan proses pembacaan,
penelitian, pengamatan, perbandingan, analisis dan pemilihan yang
teliti dan tepat faktanya.
Namun berceramah khususnya ceramah
politik, barangkali semudah makan nasi lemak atau roti canai di gerai
mamak bagi seseorang ahli politik menjenamakan retorik diri
masing-masing.
Sewajarnya, kredit yang besar bagi
seorang pimpinan yang sibuk dengan aktiviti politik masih lagi punya
masa untuk menulis sebuah rencana sepanjang 500 patah perkataan saban
minggu, apatah lagi menulis sebuah buku!
Bukan refleksi prestasi teruk BN
Saifuddin
dengan jelas menyatakan bahawa antara lain sebab beliau menulis buku
tersebut bukan sebagai refleksi prestasi teruk BN pada PRU12.
BN
hilang empat negeri dan gagal menakluk Kelantan, hilang majoriti 2/3
dalam parlimen dan PRU tersebut dikatakan sebagai PRU paling buruk dalam
sejarah BN-Umno.
Sesuatu perlu dilakukan dan Saifuddin memulakan kata pengantar buku tersebut dengan berkata:
Saifuddin kemudian menghuraikan lanjut mengenai idealisme dan harapan beliau dalam politik dalam buku ini.
Buku
tersebut disusun dalam dua bahagian. Bahagian pertama berkisarkan
topik intergriti politik dan kebahagiaan manakala bahagian kedua pula
kerangka pentadbiran baru.
Bahagian pertama memuatkan empat bab, iaitu Idealisme Politik, Politik Ilmu, Politik Hikmah dan Politik Bakti.
Bahagian
Kedua pula sarat dengan lima bab perbincangan seputar Tiga Sektor
Pembangunan Negara, Generasi Muda dan Masyarakat Sivil, Keperluan Kepada
Governance Baru, Penghakupayaan Perniagaan dan Masyarakat
Sivil serta Perwakilan Perniagaan dan bab terakhir Perwakilan Perniagaan
dan Masyarakat Sivil.
Buku ini diterbitkan dalam
dwibahasa iaitu dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Setiap versi pula
tidak sampai 100 muka surat penulisannya.
Namun itu sudah cukup
memberikan sesuatu bagi mereka yang berjiwa besar dan mengimpikan
Malaysia mencapai tahap politik ilmu dan bebas daripada politik sentimen
yang selama ini mendampingi rakyat Malaysia.
Dari PAS baru kepada rejuvenasi
Kedua-kedua buah buku Dr Mujahid pula estrak penulisan PhD beliau di Universiti Malaya (UM).
Beliau
berkelulusan ijazah pertama Universiti Al-Azhar, Mesir kemudian
menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana dalam bidang pengurusan
di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum meneruskan PhD di UM dalam
bidang Siyasah Syar`iyyah, dengan fokus terhadap konflik PAS.
Sebagai
seorang akademia pada peringkat awalnya dan dalam masa yang sama
membawa nama sebagai anak bongsu mantan presiden dan Mursyidul Am
pertama PAS, Dr Mujahid tidak pernah sama sekali terpisah daripada
aktivisme parti.
Beliau malah menjadikan PAS Melaka sebagai subjek kajian mengenai konflik dalam tesis PhD-nya itu.
Dr Mujahid memperkenalkan pendekatan teori pembelajaran dan keluk ‘S' dalam menilai turun naik perkembangan PAS secara umum.
Beliau menyatakan bahawa PAS sekarang di ambang keluk yang ketiga selepas hampir 60 tahun tertubuh sejak tahun 1953.
Lekuk pertama mewakili zaman permulaan hingga ke zaman krisis dan konflik era Datuk Asri Muda sebagai presiden (1953-1981).
Lekuk
kedua pula bermula dari era kepimpinan ulama yang digagaskan pada
tahun 1982 oleh ayahanda beliau sendiri, Yusuf Rawa sebagai presiden.
Ternyata
dasar dan idea yang dikatakan mendapat pengaruh besar daripada
semangat Revolusi Iran itu berjaya menarik orang Melayu yang tinggi
nilai sentimen Islam untuk bersama PAS.
Ia kemudian menatijahkan
kemenangan besar di beberapa negeri bermula dengan Kelantan
(1990-sekarang), Terengganu (1998-2002) dan Kedah (2008-2012).
Selepas
genap 30 tahun (1982-2013), Dr Mujahid maramalkan akan berlaku
lonjakan pada lekuk ketiga selepas era kepimpinan ulama yang sudah
berjaya menjadi dasar utuh dalam PAS.
Ia malah dipraktikkan di Kelantan oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selama 23 tahun.
Dengan
konflik sedia ada, PAS seolah-olahnya memerlukan sesuatu yang baru
supaya kekal menjadi parti alternatif pilihan di peringkat nasional -
bukan lagi di peringkat negeri, bangsa atau penganut agama tertentu
sahaja.
Demikian lahirnya buku Menuju PAS Baru dan Rejuvenasi PAS sehingga
menimbulkan, kontroversi malah menjadi lawak masyarakat apabila buku
yang ditulis oleh AJK Pusat diharamkan dibaca oleh ahli.
Kedua judul tersebut hanya menggambarkan pengharapan dan gagasan yang sudah sebati dalam Islam sendiri iaitu tajdid.
Menuju
PAS baru dalam erti kata, bukanlah membina PAS baru dan meruntuhkan
yang lama. Begitu juga rejuveasi yang bermaksud meremajakan itu.
Dasar yang lama dan sudah utuh, malah terbukti kejayaannya wajib diteruskan dan diperkemaskan secara istikamah.
Namun
perkembangan politik semasa yang sentiasa berubah mengikut zaman
memerlukan sesebuah parti untuk memperbetulkan diri bagi mengekalkan
kerelevenannya di persada politik tanah air.
Jutaan pengundi baru
saban lima tahun muncul dan mereka bukannya semua ahli PAS. Mereka
perlu diyakinkan penyokong parti Islam itu bahawa PAS pilihan terbaik
bagi memperjuangkan hak sivil masyarakat majmuk di Malaysia.
Justeru, kedua naskhah Dr Mujahid ini menganalisis konflik dalam PAS dan menawarkan penyelesaian bagi parti untuk masa depan.
Ia
bukan sekadar membebel segala fakta yang nostalgik namun lebih kepada
fokus apa yang perlu parti buat selepas ini. Ini jelas dilihat dalam
kandungan kedua buku tersebut.
Menuju PAS Baru
bermula dengan perbincangan mengenai Konflik Parti Islam, Krisis Awal,
Lekuk Pertama: Kocakan Idealisme, Era Dua Batu Nisan, Lekuk Kedua:
Kepimpinan Ulama, Ketokohan Yusuf Rawa, Krisis Identiti, Kebangkitan PAS
dan Pembentukan Identiti, Rasional Lekuk Ketiga dan Menuju Hala Tuju
Baru.
Manakalah buku kedua, Rejuvenasi PAS
pula selain memuatkan kata pengantar daripada Prof Madya Datuk Dr Mohd
Asri Zainul Abidin dan pandang sisi daripada Abdul Shukur Harun (Pak
Shukur) serta Dr Maszlee Malik, perbahasan dipecahkan kepada tiga
bahagian besar iaitu Sorotan Menuju PAS Baru, PAS & Realiti Masa
Kini dan Rejuvenasi PAS.
Bahagian pertama
perbahasa berkisarkan tajuk Sorotan Teori Dalam Buku Menuju PAS Baru,
Perkembangan Konflik dan Teori Pembelajaran, Kebangkitan PAS dan
Pembentukan Identiti dan Rasional Kemunculan Lekuk Ketiga.
Bahagian
kedua membahaskan tajuk seperti Dari Tesis Menjadi Buku, Penjelasan
Istilah PAS Baru, Landasan Pemikiran Politik Islam, Tajdid Yang
Diperlukan, Tajdid Organisasi, Manhaj Wasathiyah, Panduan Fiqh Baru, Fiqh Kenegaraan, Membuat Keputusan, Konsep Kolektif, Manifestasi Islam Hari Ini, Politik Islam Pasca Khilafah Thmaniyah, Pengolahan Daulah Islam, Islam Dalam Kerangka Perlembagaan dan Perincian Keluk Ketiga.
Manakala
dalam bahagian ketiga, tajuk-tajuk yang dibahaskan adalah Menuju
Rejuvenasi PAS, PAS Menjadi Multi-Racial, Kepimpinan Inklusif,
Rejuvenasi Organisasi PAS, Model Pendekatan Organisasi, Pemerkasaan
Organisasi PAS, Politik Dalaman dan terakhir Inisiatif Perubahan.
Wacana Facebook, Twitter
Persoalannya
adalah sejauh mana ahli-ahli parti politik kedua pimpinan ini
menghargai penulisan yang bersifat wacana terbuka dan penuh dengan
idealisme ini?
Sama ada mereka bersetuju atau tidak itu isu yang
seterusnya, namun sikap ahli dalam menghadapi wacana kritis daripada
kalangan pimpinan mereka sendiri itu bagaimana?
Banyak mana sudah ahli Umno yang membaca naskhah Politik Baru karya Saifuddin yang mewakili idealisme diri dan harapannya kepada ahli, pimpinan dan parti Umno keseluruhannya?
Seramai
mana pula ahli dan pimpinan PAS yang sudah menghadam lumat hujah,
perbahasan dan analisis dalam kedua buah buku Dr Mujahid sebelum ‘fatwa'
haram bagi ahli membacanya dikeluarkan?
Penulis fikir buku-buku inilah sesuai dijadikan bahan perbincangan dalam usrah di peringkat apa pun.
Kita
masih jauh daripada budaya politik sihat jika penulisan buku-buku
sebegini juga ditanggapi dengan emosi dan bukan juga dengan hujah
sedangkan budaya ilmu yang tinggi dan mantap menjadi intisari kepada
kehebatan sejarah dan tamadun Islam dahulu kala.
Di sini, usaha mewacanakan karya Dr Mujahid oleh Ustaz Riduan Mohamad Nor melalui karyanya Menerjang Badai: 60 Tahun Mempersada Perjuangan wajar dipuji.
Ia
menunjukkan bahawa generasi pimpinan pelapis PAS lebih bersedia
berwacana mengenai isu parti mereka sesama mereka berbasiskan ilmu dan
hujah. Bagaimana dengan Umno?
Dan, perlu difahami bahawa wacana di Facebook dan Twitter tidak dikira menepati sidang wacana sihat dan ilmiah itu sendiri.
ZAHIRUDDIN ZABIDI calon ijazah sarjana Pengajian Islam (Sejarah & Tamadun Islam).