SHAH ALAM: Setiausaha Politik kontroversi Menteri Besar Selangor,
Faekah Husin dipercayai akan meletak jawatan kerana diberi tanggungjawab
lebih besar memimpin Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) mulai minggu
depan.
Sekaligus tindakan ini dilihat untuk mengimbangi pengaruh Ketua Staf
pejabat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Datuk Saifuddin Nasution Ismail
seperti yang diarahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada permukaannya, tindakan ini seolah-olah mengisyaratkan bahawa
Khalid akur arahan Anwar supaya Faekah yang dianggap “duri dalam daging”
dikeluarkan dari struktur pejabat Khalid.
Bagaimanapun difahamkan pelantikan baru Faekah sebagai Pengurus Besar
MBI akan memberi beliau kuasa lebih besar mempengaruhi urusan anak-anak
syarikat negeri Selangor.
Berikutan kenaikan pangkat Faekah itu, Khalid dikatakan akan melantik
Azman Abidin dari Bandar Tun Razak sebagai Setiausaha Politik baru.
Beliau juga dipercayai akan mengambil Mustapha Mohd Talib sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Besar.
Sumber Pejabat Menteri Besar memberitahu, Anwar sekali lagi akan
‘dipermainkan’ oleh Khalid apabila Faekah yang tidak disenangi
kepimpinan PKR, diberi jawatan yang lebih besar berbanding sekarang.
“Anwar sememangnya dipermainkan Khalid. Kali ini beliau berjaya
mengelak membuang Faekah seperti yang diarahkan Anwar dan parti.
“Khalid akan memberi jawatan lebih tinggi kepada Faekah dalam
pentadbiran negeri Selangor, khususnya memantau pergerakan anak-anak
syarikat (GLC) kerajaan negeri di bawah MBI,” katanya kepada Antarapos hari ini.
Difahamkan arahan untuk memecat Faekah sudah lama dikeluarkan, tetapi diterima dengan sambil lewa oleh Menteri Besar.
Faekah dikatakan sering mencampuri urusan kepimpinan parti dan membuat
kenyataan-kenyataan yang tidak disenangi majlis kepimpinan PKR
menyebabkan berlaku keretakan hubungan di antara Khalid dengan Pengerusi
PKR Selangor, Azmin Ali.
Sebelum ini, Khalid diarahkan supaya melantik Setiausaha Agung PKR,
Datuk Saifuddin Nasution sebagai pegawai seranta politik kerajaan negeri
Selangor, tetapi diberi jawatan sebagai Ketua Staf Pejabat Menteri
Besar dan dikatakan perlu melapor kepada Faekah.
Difahamkan, Saifuddin tidak begitu senang dengan arahan sedemikian dan
telah tidak masuk ke pejabatnya di tingkat 5, Bangunan SUK sejak
melapor diri kepada Menteri Besar 22 Julai lalu.