HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Ogos 2013

Mesir: PAS gesa Malaysia beri signal tegas

Anis Nazri,   
 
SUBANG JAYA: PAS menggesa Kerajaan Malaysia memberikan signal tegas dan jelas kepada pemerintahan Mesir agar mengembalikan semula hak rakyat republik itu yang dirampas kudeta, sejak hampir tiga bulan lalu.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata pentadbiran Mesir perlu disedarkan tentang hak rakyat negara itu yang telah memilih presiden mereka melalui proses pilihan raya yang adil dan demokratik.

Sehubungan itu, Mohamad berkata hak rakyat Mesir yang dirampas tentera negara itu perlu dikembalikan bagi memastikan krisis Mesir dapat ditamatkan secepat mungkin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Tergempar Peringkat Serantau: Pembunuhan Awam, Demokrasi dan Hak Rakyat Mesir, di Dewan Seminar Masjid Al-Falah, di sini, pagi tadi.

Tambah Mohamad, kemenangan yang diperoleh Presiden Dr.Mohamad Morsi merupakan satu kemenangan mutlak apabila dipilih melalui pilihan raya yang demokratik buat kali pertama setelah sekian lama berada dalam pentadbiran diktator.

"Apabila berlaku rampasan kuasa ke atas satu sistem yang demokrasi, ia merupakan petanda demokrasi itu terhapus dan menafikan hak rakyat yang telah memilih pemimpin mereka sebelum ini," tegas beliau lagi.

Ia juga, katanya sebagai satu kesilapan apabila Panglima Tentera Mesir, Jeneral Fatah Al-Sisi mula berpihak ketika menyeru rakyat Mesir untuk berdemonstrasi bagi membantah himpunan aman para penyokong Morsi.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata isu di Mesir bukan merupakan isu Mesir semata-mata, sebaliknya ia membabitkan isu umat Islam serantau.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Luar dan Antarabangsa PAS Pusat, berkata Mesir merupakan sebuah negara yang memainkan peranan penting terhadap negara-negara Islam lain.

"Mesir antara negara yang banyak menyumbang kepada negara Palestin yang ditindas sekian lama, khususnya di bawah pentadbiran Morsi. Jadi, menjadi tanggungjawab kepada negara Islam untuk berperanan mengutuk serangan yang dilakukan tentera Mesir, selain membantu untuk mencari penyelesaian terhadap krisis tersebut," tegas Ahli Parlimen Tumpat itu.

Malah, katanya terdapat juga negara barat seperti Eropah yang mengambil tindakan bagi menyatakan pendirian mereka yang menentang keganasan yang berlaku di Mesir.

Turut berucap pada majlis tersebut Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr. Syed Azman Syed Nawawi, yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Luar dan Antarabangsa PAS Pusat.

Persidangan anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) bersama Lajnah Hal Ehwal Luar dan Antarabangsa PAS Pusat serta beberapa NGO lain itu dihadiri kira-kira 100 peserta.

Persidangan itu turut membariskan beberapa wakil dari negara serantau seperti Indonesia, dan Kemboja, selain wakil dari Turki, dan Mesir.

Program petang ini dijangka lebih hangat apabila wakil Ikhwanul Muslimin, Ahmad Fahmi Al-Watidi  yang juga Jurucakap Freedom and Justice Party (FJP) akan turut hadir.

Antara pimpinan PAS yang hadir pada persidangan ini ialah AJK PAS Pusat, Khalid Samad, dan Penasihat Ekonomi PAS, Dr. Rosli Yaakop.

Tiada ulasan: