'Makcik rayu, tapi dia tetap ragut'
MARANG – Seorang wanita warga emas yang juga orang kelainan upaya (OKU) trauma selepas seorang lelaki tidak dikenali meragut rantai lehernya di rumahnya di Kijing di sini, semalam.

Mangsa Halimah Yusof, 66, yang mengalami kecacatan kekal selepas tulang pahanya patah akibat jatuh tangga lebih 10 tahun lalu itu mendakwa, dia tersedar dari tidur apabila menyedari seorang lelaki tidak dikenali berada di bahagian dapur.

Menurut Halimah, dia bersama anak perempuannya yang juga OKU berada di rumah sementara suaminya keluar minum, terkejut dengan kehadiran lelaki yang tiba-tiba muncul sebelum bertanyakan tujuan lelaki itu memasuki rumahnya.

“Dia (penjenayah) tidak menjawab, sebaliknya menerpa ke arah mak cik dan cuba meragut rantai di leher mak cik, puas mak cik merayu kepadanya agar jangan buat begitu.

"Tetapi dia tetap bertindak kasar dan menarik rantai termasuk mengoyak baju mak cik," katanya.

Kerugian dianggarkan RM8,000.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan dan memberitahu kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis.