Najib Tun Razak Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan terus berusaha memastikan rakyat bebas daripada cengkaman ketakutan, terutamanya jenayah terancang seperti pengedaran dadah, kongsi gelap dan penggunaan senjata api.
  
Perdana Menteri berkata dalam usaha membanteras kegiatan jenayah, kerajaan telah mengambil langkah mendedahkan nama 49 kumpulan kongsi gelap yang didapati melanggar undang-undang Akta Pertubuhan 1966 untuk maklumat umum.
  
"Keselamatan anda dan keluarga sentiasa diambil berat oleh pihak berkuasa.
  
"Saya yakin pihak berkuasa, dengan pertolongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), akan mempergiatkan usaha mengesan dan membanteras aktiviti jenayah berat setiap masa," katanya dalam laman sosial Facebook beliau hari ini.
  
Bermula hari ini, PDRM menerusi laman sosial facebook miliknya telah menyiarkan logo 49 kumpulan kongsi gelap terbabit, bagi membolehkan orang ramai memahami maksud sesebuah logo itu sekali gus menghindari mereka daripada terlibat dengan sebarang kumpulan kongsi gelap.
 
Dalam posting itu, Najib turut memberi pautan nama-nama kumpulan kongsi gelap berkenaan yang boleh dilihat di www.bernama.com dan www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia.
  
Sehubungan itu, Najib menyeru orang ramai untuk sama-sama menyumbang kepada keselamatan negara, seperti berkongsi sebarang maklumat berkenaan kegiatan atau anggota kumpulan berkenaan.
  
"Kongsi dan sebarkan maklumat ini kepada keluarga dan rakan-rakan anda. Bersatu ke arah Malaysia yang lebih aman dan tenteram," katanya.
  
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, yang mengumumkan nama kongsi gelap terbabit semalam, berkata kumpulan itu dikategori haram mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 pada 28 Ogos 2013 melalui perwartaan P.U. (A) 272/2013.
  
Beliau berkata kumpulan itu dikesan menjalankan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara. - Bernama