Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
menerbitkan video khas sempena hari kemerdekaan negara esok dengan isi
kandungannya menyelar beberapa pertubuhan lain dalam negara yang
dikatakan cuba menyentuh dasar negara.
ISMA dalam kenyataannya berkata, video itu membidas pihak yang tidak
bertanggungjawab mencetuskan kontroversi menerusi pelbagai tuntutan
bercanggah dengan perlembagaan.
Antaranya ialah NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang menuntut polisi
Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang hanya untuk Melayu dan Bumiputera
dikaji semula; isu penggunaan kalimah Allah oleh gereja; tuntutan
pertubuhan pendidikan Cina Dong Zong mengenai hak keistimewaan Melayu.
Video laporan khas berkonsepkan majalah itu juga memetik kenyataan
pimpinan ISMA mengenai teras kenegaraan seperti kontrak sosial dan
kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang disepakati untuk mencapai
kemerdekaan.
Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman dalam video itu berkata,
orang Melayu di Malaysia sekarang sedang berhadapan dengan serangan
penghapusan identiti Melayunya.
"Melayu kalau hendak bangkit, tidak mungkin tanpa dia kenal apa identiti dia," katanya.
Abdullah ialah aktivis yang pernah belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), ISMA menghantar pemimpinnya untuk
bertanding namun kalah di kesemua kerusi yang dipertandingkan dan
kehilangan wang deposit.
Abdullah berkata, tindakan bukan Islam mencabar Malaysia termasuk tidak
mengiktiraf negara ini sebagai negara Islam, sebenarnya tanpa mereka
sedari sudah melanggar persetujuan dan persepakatan yang disepakati
bersama.
Sementara itu, Naib Presiden I ISMA, Muhammad Fauzi Asmuni, berkata
negara sudah kehilangan Singapura dan mungkin kehilangan Pulau Pinang,
Sabah dan Sarawak.
Penerbit video itu, Dr Kamil Azmi Tohiran berkata, isu berkenaan
diketengahkan sebagai isyarat kepada pihak tertentu supaya menghormati
Perlembagaan terutama isu berkaitan Islam dan Melayu.
Dalam video itu, ISMA mendedahkan empat ancaman yang sedang dihadapi
Malaysia iaitu ideologi Liberalisme, Chauvinisme, Kristianisasi dan
fahaman sesat Syiah.
ISMA dalam video itu turut menekankan mengenai pembangunan jati diri
umat Melayu perlu menjadi keutamaan di samping usaha berterusan dalam
membanteras ancaman tersebut.
Video itu diterajui wartawan ISMA, Mohd Firdaus Salleh Hudin dan
penggambaran dibuat di beberapa lokasi utama di ibu negara seperti Tugu
Negara, Dataran Merdeka dan KLCC.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan