Sivarraajh Sivarraajh (kanan) bersama Pemuda MIC bersedia untuk membuat laporan polis berhubung isu berkenaan.
KUALA LUMPUR - Pemuda MIC akan memberi sokongan penuh kepada polis dalam membanteras kumpulan kongsi gelap membabitkan kaum India menerusi Ops Cantas yang dilancarkan sejak 17 Ogos lepas.

Setiausahanya C. Sivarraajh berkata pihaknya amat terkilan dengan jumlah 28,000 orang dari kaum India menyertai kumpulan kongsi gelap di negara ini.

"Ini sesuatu yang memalukan kaum kami," katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara bagi menyatakan sokongan sayap MIC itu terhadap tindakan polis membanteras kegiatan jenayah.

Memorandum tersebut diserahkan kepada pegawai Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), DSP Anuwal Abd Wahab, pada pukul 10.55 pagi di Bukit Aman di sini hari ini.

Sivarraaj berkata sayap itu meminta polis menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak sebarang tuduhan terhadap pasukan keselamatan dalam membanteras kegiatan jenayah.

Beliau turut berkata sayap itu akan menubuhkan satu pasukan khas bagi membincangkan masalah gangsterisme di negara ini.

"Kami menjemput semua parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta polis untuk menyertai pasukan khas ini dalam mencari kaedah terbaik membendung kegiatan jenayah yang semakin menjadi-jadi," katanya. - Bernama