Padahal, kita sewajarnya sedar keretakan hubungan sosial antara kaum akan menggugat kekuatan politik yang seterusnya mencetus kegagalan ekonomi, apabila dunia tidak lagi percaya kemampuan negara untuk melindungi aset pelaburan mereka.
Namun, sebagai warganegara yang waras dan rasional, kita masih menaruh harapan agar hubungan baik, keharmonian dan tolak ansur masyarakat akan segera pulih atas semangat bulan kemerdekaan yang menjadi simbol perpaduan antara kaum di Malaysia.
Berita terbaik yang berkaitan dengan Hari Kemerdekaan dalam kalangan dunia seni tahun ini ialah, kebebasan filem patriotik ‘Tanda Putera' yang akhirnya dibenarkan menemui penggemar filem seluruh negara bermula tanggal 29 Ogos ini selepas beberapa tahun ditangguh.
Filem yang membawa mesej jati diri dan perjuangan mendaulatkan tanahair itu digarap dari kacamata Datin Paduka Shuhaimi Baba, berlatarbelakangkan peristiwa hitam 13 Mei, 1969 dan persahabatan erat Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein dengan Timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman.
Secara ringkasnya, ia menggambarkan perit jerih dua negarawan berkenaan dalam usaha memulihkan kekuatan negara susulan isu pergaduhan antara kaum dan pada masa yang sama bergelut dengan masalah kesihatan masing-masing.
Kepentingan negara yang perlu diutamakan menyebabkan Tun Abdul Razak merahsiakan penyakit leukemia yang dihidapinya daripada semua pihak termasuk ahli keluarganya sendiri, melainkan Timbalannya, Tun Dr Ismail dan doktor peribadi yang mereka kongsi, Dr Macpherson.
Malah mereka mengubah bilik bacaan rumah timbalannya itu menjadi klinik rahsia dan tetap terus bekerja keras bagi mengejar sasaran rancangan kestabilan negara, sedangkan mereka sedar Tun Abdul Razak hanya mempunyai jangka hayat kira-kira dua tahun sebelum penyakitnya melarat.
Integriti dan kejujuran Tun Dr Ismail menjadikan beliau orang kepercayaan utama Tun Abdul Razak, malah beliau terkenal sebagai wajah utama yang mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan pasca peristiwa 13 Mei.
Meskipun pernah menarik diri daripada jawatan kabinet atas faktor kesihatan, beliau kembali untuk mentadbir Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dengan peranan utama membina semula perpaduan masyarakat termasuk melahirkan prinsip Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan.
Dikenali sebagai Timbalan Perdana Menteri berprinsip kental, Tun Dr Ismail nyata mempunyai jasa yang amat besar dalam menangani permasalahan ekonomi Melayu yang begitu daif dan terabai ketika itu.
Walaupun beliau diharapkan untuk memikul tanggungjawab meneruskan rancangan pembangunan negara yang sama-sama dirangka dengan Perdana Menteri, beliau bagaimanapun terlebih dahulu meninggal dunia daripada sahabat baiknya dan disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara pada tahun 1973.
Tidak cukup dengan cabaran keretakan perpaduan antara kaum dan penyakit terminal yang hadapi dua tokoh ini, negara dikejutkan pula dengan ancaman pemberontakan komunis yang membunuh polis secara berturut-turut.
Lebih teruk, pembelot kedaulatan negara itu menyasarkan pemimpin tertinggi Jabatan Polis termasuk berjaya membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong.
Komunis ketika itu amat bertekad untuk memporak-perandakan negara dengan membunuh ramai anggota keselamatan negara sepanjang tempoh darurat pertama iaitu tahun 1948 hingga 1970.
Mereka semakin menggila tatkala peringkat kedua darurat pada 1974 hingga 1982 dengan melakukan pembunuhan terancang yang mengorbankan sekurang-kurangnya lapan detektif dan pemimpin polis serta anggota polis yang lain.
Lebih biadap, keganasan gerakan gerila dan provokasi mereka diperhebatkan lagi dengan perisytiharan ‘Tahun Pertempuran 1975' oleh Chin Peng termasuk sengaja mengebom Tugu Negara pada 26 Ogos, 1975 dan mengebom Kem Pasukan Polis Hutan Kuala Lumpur.
Apapun, filem Tanda Putera yang dibarisi oleh pelakon hebat seperti Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim, Norman Hakim, Kavitha Sidhu dan Riezman Khuzaimi itu diterbitkan oleh Pesona Pictures Sdn Bhd dan Finas dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC).
Lebih menarik, ada pihak di alam maya yang mengajak orang awam beramai-ramai menonton filem patriotik itu pada Hari Kemerdekaan sambil memakai songkok bagi mengambil aura perjuangan generasi Melayu terdahulu.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 17 penyelaras akaun laman sosial Facebook yang diketuai oleh akaun laman ‘Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohammad' (SSTDMM) telah bergabung untuk menganjurkan kempen menonton wayang sambil memakai songkok pada tanggal 31 Ogos.
Penyelaras akaun sosial lain yang turut menyokong kempen ini termasuk laman ‘Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary Idola Kami', ‘Kuasa Pembeli dan Pengguna Melayu Islam' (KPPMI) serta ‘Gerakan Memperkasa Ekonomi Melayu' (GAMEM).
Mereka memilih untuk menonton filem ‘Tanda Putera' di pawagam GSC Mid Valley sebagai lokasi utama program sambil mengenakan songkok sebagai tanda sokongan generasi muda terhadap filem genre patriotisme.
Meskipun kedengaran agak ganjil bagi generasi zaman siber untuk memakai songkok ke kompleks membeli-belah, namun tidak dinafikan ini adalah cara meraikan Hari Kemerdekaan ke-56 yang amat unik dan sesuai untuk golongan muda.
Golongan wanita pula digalakkan berbaju tradisional Melayu samaada baju kurung, kebaya atau kedah beserta tudung hitam atau mengenakan kelubung kain batik di kepala.
Setakat ini kempen itu mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengguna internet atau netizen hingga ada yang menawarkan diri mahu menyelaras acara yang sama di luar Kuala Lumpur termasuk di Sarawak dan Perak.
Penyelaras utama kempen Faeez Harith Khairil Anuar, 23, sendiri terkejut apabila idea kecil itu mendapat sambutan hangat termasuk daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang kemudian mencadangkan agar lagu kebangsaan ‘Negaraku' turut dimainkan di semua pawagam beberapa hari sebelum 31 Ogos hingga Hari Malaysia 16 September.
"Kami akan menyahut seruan Ahmad Shabery untuk beramai-ramai menyanyikan lagu Negaraku dengan lantang dan bersemangat sebelum filem itu dimainkan," kata beliau yang berjanji akan mengenakan baju Melayu lengkap bersampin kain pelikat pada hari berkenaan.
Lebih mengujakan, beberapa pelakon termasuk Zizan Nin yang memegang watak Tun Dr Ismail serta kru produksi filem ‘Tanda Putera' juga menyatakan keinginan menyertai acara di kompleks membeli-belah Mid Valley itu.
Memeriahkan lagi sambutan unik itu, SSTDMM mengajak peserta agar berkumpul dengan songkok masing-masing di ruang legar pawagam untuk berkenalan, beramah mesra serta sesi bergambar beramai-ramai.
"Tidak mengapa jika anda malu untuk memakai songkok dari rumah kerana anda boleh simpan dahulu dalam beg dan pakai sahaja apabila tiba di tempat perjumpaan nanti," tambah Faeez Harith.
Malah, selaras dengan tema ‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' tahun ini, mereka juga akan mengagihkan bendera Jalur Gemilang kepada pengunjung pawagam.
Maklumat lanjut boleh layari akaun laman SSTDMM di laman sosial Facebook.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan