Majlis Belia Negeri (MBN) Kedah Majlis Belia Negeri (MBN) Kedah

ALOR SETAR - Majlis Belia Negeri (MBN) Kedah menyangkal dakwaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan pendekatan kerajaan negeri dalam menangani isu berkaitan Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) seolah-olah cuba menguburkan institusi pengajian berkenaan.

Bendaharinya, Shahrol Niza Omar berkata, pihaknya melihat kenyataan yang dibuat Nik Abdul Aziz itu hanyalah sebagai cubaan untuk mengelirukan rakyat serta bermotifkan politik.

Menurutnya, tidak mungkin bagi kerajaan negeri untuk melakukan satu pendekatan yang boleh menguburkan Insaniah kerana ia ditubuhkan oleh kerajaan negeri semasa pimpinan BN pada 22 Jun 1995.

“Dakwaan beliau tidak benar. Padahal kerajaan BN yang tubuhkan Insaniah dengan pengambilan pelajar yang begitu ramai saban tahun.

“Tetapi sejak pentadbiran PR, jumlah pengambilan pelajar setiap tahun semakin berkurangan bermula pada 2010. Boleh dikatakan penurunan hampir 50 peratus setiap pengambilan baru,” katanya.

Katanya, pada Julai 2010, pengambilan pelajar baru adalah seramai 1,900 orang. Berbanding pada 2011 pula, penurunan sebanyak 300 orang dan menjadikan jumlah keseluruhan pengambilan pelajar pada tahun berkenaan sebanyak 1,600 orang.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Nik Abdul Aziz mendakwa cara kerajaan negeri jelas menampakkan keinginan mereka untuk melemahkan perjalanan institusi pengajian agama berkenaan apabila kemasukan Julai 2013 lalu merosot sehingga 50 peratus.