Walaupun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak popular dan
mendapat kritikan, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),
Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini menggesa kerajaan terus
melaksanakannya bagi menjana pendapatan negara.
Beliau berkata, sememangnya pelaksanaan GST di Malaysia bukan satu
langkah popular tetapi sistem cukai baru itu perlu dilaksanakan bagi
menjamin pendapatan kepada kerajaan sekaligus membolehkan pembangunan
negara terus dapat dilaksanakan.
“Banyak kerajaan negara lain yang melaksanakan GST ini, kemudian kalah
dalam pilihanraya tetapi kerajaan baru yang dipilih daripada pembangkang
tidak menghapuskan cukai ini, jadi ia adalah bukti bahawa GST
sememangnya memberikan sumbangan dalam menjamin pendapatan negara,” kata
beliau.
Kenyataan Nur Jazlan hadir selepas kadar pertumbuhan negara tidak
mencapai sasaran seperti yang ditetapkan, Bank Negara Malaysia (BNM)
baru-baru ini juga telah menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi
seluruh 2013 ini kepada antara 4.5% dan 5% daripada antara 5% dan 6%
sebelum ini.
Dalam laporan suku kedua tahun ini, BNM melaporkan pertumbuhan Keluaran
Dalam Negara Kasar pada 4.3%, kadar yang dianggap perlahan menurut
penganalisis ekonomi berbanding unjuran awal yang diramalkan pada 4.9%.
Beliau turut menggesa supaya rakyat perlu diberi penjelasan supaya
mengetahui fakta sebenar mengenai GST serta sebab mengapa sistem itu
perlu dilaksanakan dengan segera.
"Masalahnya di Malaysia ini, persepsi lebih diterima sebagai fakta
sehingga menyebabkan fakta dianggap sebagai penipuan, begitu hebat putar
belit pembangkang yang meracuni fikiran rakyat mengenai GST ini," kata
beliau.
Nur Jazlan yang juga seorang akauntan bertauliah menegaskan kegagalan
kerajaan memberikan penerangan selengkapnya mengenai GST kebaikan serta
kelebihan sistem itu kepada rakyat menyebabkan ia gagal dilaksanakan
sejak ia diperkatakan pada 2005.
“Terus terang saya kasihan melihat Menteri Kewangan II, Datuk Seri
Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berseorangan dalam memberikan penerangan
mengenai GST kepada rakyat. Jentera sistem penyampaian kerajaan yang
merangkumi setiap agensi serta kerajaan perlu digerakkan bagi memberikan
lebih pemahaman kepada rakyat mengenai GST ini,” katanya di Kuala
Lumpur, hari ini.
Langkah pelaksanaan GST dilihat sebagai jalan untuk mengatasi defisit
fiskal yang sudah melebar kepada RM14.9 bilion, selain penurunan
mendadak lebihan akaun semasa kepada RM2.6 bilion dalam suku kedua tahun
ini.
Mengulas mengenai GST lagi, Nur Jazlan, berkata Malaysia adalah antara
kelompok kecil negara di dunia ini, yang masih belum melaksanakan GST,
sedangkan lebih 200 negara seluruh dunia termasuk Mesir, Thailand,
Filipina dan Singapura sudah melaksanakannya.
"Malah Indonesia, Nigeria serta Pakistan sudah melaksanakan GST, adakah
Malaysia terlalu teruk sehingga masih tidak boleh melaksanakan GST,"
ujarnya lagi.
Beberapa hari lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr
Mohd Irwan Serigar Abdullah mengakui bahawa kerajaan akan cuba
memasukkan GST dalam Bajet 2014, yang akan dibentangkan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan, Oktober ini.
Malah, Najib dalam pembentangan Bajet 2013 tahun lalu, turut menyatakan
bahawa kerajaan akan cuba menstruktur semula sistem cukai negara dalam
memastikan defisit perbelanjaan kerajaan dapat dikurangkan.
Najib bakal menghadapi cabaran kepimpinan menjelang pemilihan parti
Oktober ini, menimbulkan ketidaktentuan janjinya untuk mengurangkan
defisit sebanyak 4.5 peratus daripada KDNK, Malaysia antara negara yang
mempunyai hutang tertinggi di Asia.
Malaysia mencatatkan hutang kerajaan kepada KDNK 53.1% daripada KDNK pada 2012.
Agensi penarafan kredit dunia, Fitch Ratings baru-baru ini meletakkan
Malaysia pada kedudukan negatif, serta mempersoalkan langkah kerajaan
yang mengabaikan reformasi kewangan terutamanya selepas berakhir pilihan
raya baru-baru ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan