Bekalan air pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu Datuk Seri Mahdzir Khalid menunjukkan sampel air yang telah dipulihkan dan yang telah tercemar akibat minyak diesel semasa membuat lawatan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor, Fasa Dua, Bukit Badong Syabas hari ini. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menjangka gangguan bekalan air di enam wilayah terjejas akibat pencemaran Sungai Selangor akan pulih secara berperingkat dalam masa tiga hari lagi sebelum pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu.
 
Sehingga kini, jumlah pengguna yang terjejas telah menurun kepada kira-kira 880,000 akaun pengguna iaitu 60 peratus daripada jumlah pengguna di enam wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.
 
Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas Abdul Halem Mat Som berkata pengguna wilayah Kuala Langat telah menerima bekalan air semula sepenuhnya sejak awal pagi tadi. 
 
"Oleh sebab kawasan yang terlibat amat luas dan jumlah pengguna yang terjejas melebihi sejuta orang, semua kakitangan Syabas kini bertugas 24 jam secara bergilir-gilir bagi memastikan semua kerja-kerja berjalan lancar," katanya kepada Bernama hari ini.
 
Semalam, operasi empat buah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan LRA Rantau Panjang ditutup selepas sumber air dari Sungai Selangor mengalami pencemaran air disebabkan tumpahan minyak diesel di hulu sungai di sekitar Rawang.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred dalam kenyataannya, berkata bekalan air terawat mula disalurkan ke sistem agihan empat loji rawatan air yang mula beroperasi semula sejak 3 pagi tadi.
 
"Bagi membantu meringankan beban pengguna, Syabas meletakkan 46 buah lori tangki di kawasan terjejas.
 
"Selain itu, sebanyak 14 lori tangki dari negeri-negeri lain iaitu enam buah dari Syarikat Air Johor, Lembaga Air Perak (6) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (4) turut ditempatkan di kawasan terjejas," katanya.  - Bernama