HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Ogos 2013

Merdeka juga bererti bebas daripada kemiskinan

Oleh Liew Chin Tong

1075642_10151532582660911_607026115_n

Apabila kita melihat media arus perdana, tidak kira sama ada ia akhbar berbahasa Melayu, Mandarin, Tamil atau Inggeris; debat-debat politik tidak boleh tidak, pastinya akan dibingkaikan dalam lingkungan perkauman dan keturunan. Dalam wacana yang berkisar soal kaum, semua orang nampaknya mempunyai sudut pandang sendiri untuk ditokok tambah kepada perkelahian yang tidak berkesudahan ini.

Ini akhirnya membawa kepada kelesuan secara kolektif dan kita semua kemudian menjauh daripada isu-isu yang sepatutnya mengisi ruang media dan perbahasan polisi awam – isu penting seperti kesihatan dan penyakit, kerjaya, pendidikan dan banyak lagi keperluan asas dalam kehidupan.

Sambil kita meraikan Hari Merdeka, saya ingin berkongsi tiga kisah benar yang berlaku di kawasan saya di Kluang, Johor.

Tiga Kisah Benar

Pertama: Sebuah keluarga di Sri Lalang, dalam sebuah kampung terletak antara sempadan parlimen Kluang dan Ayer Hitam. Ketua keluarga seorang kelindan lori dengan berpendapatan kurang RM1,000 sebulan.

Tinggal bersamanya dalam rumah yang sama adalah ibunya yang berusia 85 tahun serta ibu mentuanya yang berusia 71 tahun; selain isteri dan lima anaknya.

Anaknya yang sulong sudah bekerja. Dengan keadaan kewangan yang begitu buruk, dua lagi anaknya memilih untuk berhenti sekolah menengah. Yang berusia 16 tahun berhenti bersekolah tiga tahun lalu, yang seorang lagi berhenti sekolah tahun ini.

Sekolah menengah mereka terletak tidak jauh dari rumah, serta memerlukan wang tambang harian selain duit poket sebanyak RM5. Dua lagi anaknya yang di sekolah rendah memerlukan RM2 setiap hari untuk tambang bas dan duit poket. Keluarga ini hidup serba daif, pondok kayu yang menjadi rumah mereka tidak pun mempunyai sistem penjagaan kebersihan yang sewajarnya.

Kedua: Sebuah keluarga tinggal dalam sebuah rumah kos rendah di Jalan Sawi. Bekalan elektrik mereka telah dipotong kerana tidak mampu membayar bil. Pemilik rumah berusia 45 tahun itu turut kehilangan pekerjaan kerana penyakit migrain dan masalah mata; kesan daripada kemalangan motosikal yang terjadi ketika beliau berusia 19 tahun.

Anaknya yang paling tua berusia 18 tahun. Anak-anak yang lain, berusia antara 12 ke 16 tahun terpaksa berhenti sekolah. Anaknya yang paling bongsu menghidap penyakit kencing manis dan memerlukan suntikan insulin empat kali sehari.

581423_10151532582460911_1704039123_n

Ketiga: Seorang ibu amat memerlukan derma, memohon bantuan dari rumah ke rumah demi menyelamatkan anak perempuannya yang berusia dua tahun yang lahir dengan jantung berlubang. Suaminya melakukan kerja-kerja rencam, tidak mampu mengekalkan kerja sepenuh masa setelah ditimpa kemalangan jalanraya. Mereka mempunyai tiga orang anak.

Wanita itu yang berpendidikan, memang mempunyai pekerjaan, tetapi terpaksa dilepaskan demi menjaga anaknya yang sakit. Beliau kini hanya menjadi pembantu warung dengan gaji RM2 sejam.

Memandangkan Hospital Besar Kluang tidak mempunyai doktor pakar bagi merawat penyakit anak perempuan itu, beliau terpaksa menempuh perjalanan sejauh 110km ke Johor Bahru untuk rawatan. Perjalanan itu memakan belanja tinggi bagi seseorang yang digaji RM2 satu jam.

Kesengsaraan yang dikongsi

Setiap kisah benar ini menimbulkan resah di hati saya. Begitu mengarut sekali apabila sesudah 56 tahun Merdeka, masih wujud anak-anak yang berhenti sekolah kerana keluarga tidak ada wang.

Begitu banyak kes kemiskinan dikaitkan dengan kemalangan motosikal yang mengakibatkan kecederaan atau kematian. Setiap tahun kemalangan jalan raya mencatat bilangan purata 6,000 kematian dan 50,000 kecederaan; dan di sebalik setiap kematian dan kecederaan pastinya akan timbul kisah yang mendukacitakan.

Tidak cukup usaha dan daya fikir dilimpahkan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam. Bagaimana kita boleh bebas daripada model lalu lintas yang berkiblatkan kenderaan kereta persendirian?

Jabatan Kebajikan Masyarakat menawarkan bantuan minima dan sumbangan kewangan; secara umum ia bersikap seolah-olah ‘bagi sikit adalah lebih baik daripada tak ada langsung’. Sistem ini tidak mampu menangani keperluan kebajikan baru yang kian timbul.

Dasar kita terhadap keperluan perubatan dalam masyarakat adalah begitu tidak acuh, pasif serta mementingkan wang. Pada masa yang sama, masalah yang dihadapi populasi warga berusia hampir langsung tidak dipedulikan dan tidak diambil kira dalam perancangan pihak berkuasa.

Selepas krisis ekonomi tahun 1997, ekonomi kita tidak berkembang pesat, gaji juga tidak meningkat. Kebanjiran tenaga kerja asing malah memastikan gaji kita tidak bertambah.

Ramai warga yang rajin berusaha hampir langsung tidak mampu untuk menampung kehidupan harian. Apabila ditimpa penyakit, seluruh keluarga hampir mungkin hilang mata pencarian.

Dan ya, ketiga-tiga keluarga dalam kisah di atas kesemuanya Melayu.

Memecahkan bingkai perkauman

Begitupun masih ada antara kita yang tersekat dalam bingkai dan sempadan perkauman ini. Ada orang Cina yang percaya bahawa SEMUA orang Melayu menerima bantuan kerajaan. Saya ingin katakan kepada mereka bahawa kemiskinan tidak mengenal sempadan kaum. Ada jauh lebih ramai keluarga Melayu miskin dari yang dapat kita bayangkan.

Melayu bukan masalahnya. Masalahnya ialah UMNO. UMNO lah yang mendakwa kononnya ia juara mempertahan kepentingan ekonomi Melayu. Namun saya boleh buktikan bahawa dakwaan UMNO itu tidak benar.

Marilah kita menanggalkan cermin gelap perkauman dan melihat kepada keperluan setiap orang, tanpa mengira kaum, dari segi peluang pekerjaan, pendidikan, perumahan, pengangkutan, kesihatan dan kebajikan.

Masanya sudah tiba untuk para penggubal dasar kembali kepada asas keperluan manusia demi membina semula negara yang telah cacat halatujunya.

Tiada ulasan: