PETALING JAYA – Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa hari ini mendedahkan pembabitan beberapa pihak dalam membawa masuk warga Bangladesh ke Malaysia sejak Mac lalu.
Beliau mendakwa, Syarikat Union Tours & Travel Limited (UTT), ejen jualan lantikan MAS beroperasi di Bangladesh disyaki bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka Bangladesh dan Jabatan Imigresen Malaysia di KLIA.
Katanya, lima penerbangan terus dari Dhaka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dibuat menggunakan dua pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan masing-masing satu dari Biman Bangladesh Airlines, Regent Airways dan United Airways.
“Pesawat itu membawa hampir 1,000 penumpang menggunakan dokumen visa pelancong palsu dengan bayaran 32,000 Taka (RM1,300).
“Jika dibuat terus kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, bayarannya hanya 500 taka (RM20) dan caj perkhidmatan dibenarkan sehingga 1000 Taka (RM40).
“Bayaran secara terus ini amalan rasuah untuk melicinkan proses daftar masuk di Dhaka. Majoriti mereka boleh disahkan sama ada pelancong tulen jika dibuat pemeriksaan berkesan oleh Imigresen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai isu jenayah pemerdagangan itu di ibu pejabat PKR, hari ini yang turut dihadiri bekas Pegawai Kanan MAS, Mohamad Tahir Fazal Mohd.
Sivarasa mendesak tindakan tegas bagi mengekang kemasukan secara haram ribuan rakyat asing itu, malah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Turut dilampir ialah beberapa nama dan nombor pasport lima warganegara Bangladesh yang diberi visa pelancong melalui UTT secara haram.- FZL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan