Tiga sahabat, Raja Maisarah (kanan), Nur Hanis dan Nurul Ashikin bersyukur kerana selamat sampai ke tanah air
IPOH – "Kami sudah lali." Itu antara reaksi pelajar ketika bercerita pengalaman sepanjang berada di bumi bergolak, Mesir.
Keadaan itu menghilangkan rasa bimbang mereka biarpun tahu diri berdepan pelbagai risiko yang boleh mengancam keselamatan.
Pelajar Universiti Al-Azhar, Raja Maisarah Raja Aziz, 22, ketika ditemui berkata, bunyi tembakan setiap hari adalah perkara biasa.
Katanya, pada peringkat awal, pelbagai perkara terlintas di fikiran ketika itu apatah lagi keadaan krisis yang meruncing dan bila-bila masa boleh mengancam keselamatannya dan rakan pelajar lain.
"Pada mulanya keadaan itu agak merisaukan tetapi lama kelamaan ia menjadi biasa dan tidak menimbulkan ketakutan lagi. Seakan perkara biasa bagi saya melihat deretan kereta kebal dan ratusan anggota tentera bersiap sedia dengan senapang yang boleh dilihat di jalanan," katanya.
Pelajar jurusan Usuluddin itu berkata, dia perlu patuh arahan yang ditetapkan universiti bagi memastikan keselamatan terjamin.
“Kami diberi waktu tertentu untuk keluar membeli barangan keperluan dan perlu balik sebelum waktu tersebut.
“Semenjak berlakunya krisis, kami masih lagi dapat berhubung dengan keluarga sama ada melalui telefon atau laman sosial (Facebook),” katanya.
Raja Maisarah adalah sebahagian daripada 82 pelajar Mesir kelahiran Perak yang telah dibawa pulang dalam pelan evakuasi kerajaan.
“Pengalaman ketika krisis di Mesir sebelum ini menguatkan semangat saya meneruskan pelajaran di sini sehingga memperoleh ijazah buat keluarga di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar universiti sama, Ahmad Haziq Muqri Ahmad Azhar, 20, berkata, dia bersyukur kerana penempatannya jauh dari kawasan bergolak dan dapat meneruskan pengajian seperti biasa namun terikat dengan perintah darurat yang dikeluarkan.
Pelajar jurusan Syariah Islamiah itu berkata, segala aktiviti luar dikurangkan selepas keluarnya perintah tersebut dan keadaan tidak bebas seperti dahulu.
“Ini kerana pihak berkenaan akan berfikir yang bukan-bukan apabila sesama pelajar berkumpul kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini.
“Pengurangan aktiviti luar juga bagi memastikan keselamatan pelajar agar berada di kawasan selamat pada waktu yang ditetapkan,” katanya.
Rata-rata pelajar ini bersyukur dan gembira kerana kepulangan mereka ke tanah air ketika dalam cuti semester.
Kedua-dua pelajar berkenaan ditemui Sinar Harian di Bangunan Yayasan Perak, di sini, setelah dibawa daripada Kuala Lumpur sebelum dijemput ibu bapa masing-masing.
Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, seramai 82 daripada 550 pelajar Mesir anak Perak telah dibawa pulang sejak kerajaan memutuskan agar pelajar Mesir dibawa pulang ke tanah air.
Menurutnya, dijangkakan hari ini dan Rabu, bilangan pelajar yang tiba lebih ramai berbanding sesi pertama hingga keempat.
“Di Yayasan Perak, kami menyediakan pengangkutan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), penginapan bagi mereka yang tinggal jauh sementara menunggu ibu bapa masing-masing dan sedikit wang saku.
“Semua pelajar yang balik ini mengikut pelan evakuasi secara sukarela,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan