Najib Tun Razak Najib Tun Razak
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menganggap keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan nama 49 kongsi gelap hari ini sebagai tindakan terlalu cepat meskipun Ops Cantas baru dilancarkan 23 Ogos lepas.
  
Perdana menteri berkata ini kerana rakyat mengharapkan tindakan yang tegas diambil selepas berlakunya peningkatan laporan jenayah kekerasan akhir-akhir ini.
  
"Rakyat mengharapkan tindakan yang tegas diambil dan berkesan. Jadi ini semua adalah ketetapan yang dibuat oleh kerajaan supaya sesuatu dapat kita lakukan secara bersungguh-sungguh dan komprehensif melalui Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia," katanya.
  
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera di pejabatnya di sini hari ini.
  
Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi hari ini mengumumkan senarai 49 kumpulan kongsi gelap itu yang dikategorikan haram mengikut Seksyen 5 (1)Akta Pertubuhan 1966 pada 28 Ogos 2013 melalui perwartaan P.U. (A) 272/2013.

Antara kumpulan kongsi gelap itu ialah Geng 04 yang dikenal pasti bergerak aktif di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur, Geng 08 yang bergerak aktif di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dan Double 7 yang bergerak aktif di seluruh Semenanjung.
  
Najib berkata tindakan PDRM dan KDN itu mendapat sokongan rakyat yang mahu hidup dalam negara yang aman.
  
"Rakyat mesti dapat hidup dalam sebuah negara yang mereka akan merasa selamat. Ini kita tidak akan kompromi, malah saya minta pihak PDRM supaya tindakan itu dilakukan secara berterusan.
  
"Perang terhadap jenayah ini hendaklah berterusan. Ini yang diharapkan rakyat. Kita mahu hidup dalam negara yang bebas daripada rasa takut. Oleh tu kita perlu memerangi jenayah terutama jenayah terancang," kata Najib.
   
Dalam perkembangan lain, perdana menteri berkata semua anggota pentadbiran perlu sealiran dalam memberikan pandangan. - Bernama

"Sebagai anggota pentadbiran kita kena sealiran, maknanya
pendapat kita kena senada dengan anggota pentadbiran yang lain. Itu
prinsipnya," katanya.

    Beliau mengulas tindakan P.Waytha Moorthy yang dikatakan tidak
berpuas hati dengan kematian lima lelaki dipercayai anggota kongsi gelap dalam
operasi polis di Pulau Pinang, menyebabkan beberapa menteri mencabar beliau
meletakkan jawatan.

    Mengenai tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang menyekat tayangan filem
'Tanda Putera', perdana menteri berkata terpulang kepada pawagam untuk
menayangkan filem itu.

    "Saya pun tidak pasti kuasa kerajaan negeri. Tapi negara ini, negara bebas.
Pihak DAP pun selalu menyuarakan kebebasan," katanya.     -- BERNAMA