HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Ogos 2013

Padah buat laporan palsu


Padah buat laporan palsu DVD yang dirampas.

SEREMBAN – Tindakan seorang wanita warga China membuat laporan polis palsu kononnya pasportnya hilang membawa padah apabila pasport sebenar ditemui oleh pihak berkuasa di rumahnya dalam serbuan di sini semalam.

Wanita berusia 32 itu ditahan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan bersama teman lelakinya warga tempatan berusia 38 tahun di sebuah rumah di Taman Bukit Galena.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan pihaknya selama tiga hari selepas membuat serbuan pertama di sebuah premis pusat bahasa di Kuala Lumpur minggu lalu.

“Ketika serbuan, kita mengesan terdapat pengeluaran pas palsu dan antaranya terdapat pasport wanita terbabit yang di dalamnya ditemui satu laporan polis berhubung kehilangan pasportnya.

“Daripada maklumat tersebut kita melakukan siasatan dan menemui alamat tempat tinggal wanita itu sebelum melakukan serbuan,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pasport asal wanita itu ada bersamanya dan dia dipercayai mula masuk ke negara ini sejak 2011 lalu dengan menggunakan pas pelajar, namun menyalahgunakannya dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).

Bagaimanapun Faizal berkata, wanita berkenaan dipercayai membuat laporan polis selepas menyedari nombor pasportnya disenaraihitamkan oleh pihak berkuasa.

“Wanita terbabit membuat laporan polis pada 14 Julai lalu mengatakan pasportnya hilang kerana diragut ketika berjalan di Pasar Besar Seremban.

“Tapi sebenarnya pasport itu tidak hilang dan dia buat laporan untuk membolehkannya membuat pasport baru sekali gus bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, pasport baru yang digunakan juga didapati palsu dan dia dipercayai masuk ke negara ini dengan menggunakan pas pelajar, namun menyalahgunakannya dengan  bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam di sekitar daerah ini.

"Wanita itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39 B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen iaitu kesalahan kerana memperoleh atau cuba memberi kenyataan palsu.

“Wanita terbabit dibawa ke Imigresen Senawang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tiada ulasan: