Putrajaya menggesa supaya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) negeri Selangor
bekerjasama dalam menangani masalah gangguan air yang melanda sekitar
Lembah Klang daripada menyalahkan Syarikat Bekalan Air Selangor
(Syabas).
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir
Khalid mempertahankan Syabas serta berpuas hati dengan langkah
berjaga-jaga yang diambil untuk mengatasi masalah tersebut.
"Saya berpuas hati dengna tindakan yang diambil syarikat konsesi air
Syabas dalam memberitahu orang ramai terhadap tumpahan minyak dan
gangguan air.
"Semua orang bekerja dengan baik untuk mengatasinya. Ini bukan masa
cari salah. Saya tidak mahu bercakap tentang politik, mari bekerjasama
malah semalam setiausaha negeri juga berada disini untuk memeriksa
keadaan," kata beliau.
Kenyataan Mahdzir dibuat selepas Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna
dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong membidas Syabas kerana cuba mewujudkan
rasa panik di kalangan orang ramai dengan mengatakan berlakunya "krisis
air".
Mahdzir berkata loji pemprosesan air Kuala Langat telah kembali ke
normal dan akan kembali pulih secara berperingkat dalam tempoh lima
hari.
Hari ini beliau juga telah melawat Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) di Bestari Jaya.
Menurutnya lagi, tumpahan minyak tersebut berjaya disekat dan dialihkan daripada memasuki loji.
Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, contoh air akan diambil
setiap dua jam untuk diuji bagi mengelak sebarang pencemaran, selain
perangkap "oil boom" juga dipasang daripada memasuki loji.
Mengenai punca tumpahan minyak, Mahdzir mengesahkan perkara sama
seperti Wong, dimana ia berpunca daripada bengkel lori berhampiran
sungai.
"Pihak berwajib perlu mengambil tindakan ke atas pesalah tersebut," katanya.
Mahdzir kemudiaan membidas kerajaan negeri Selangor kerana enggan untuk
melaksanakan projek Langat 2 sebagai alasan berlaku masalah gangguan
air tersebut.
"Loji ini adalah sumber kepada pengguna di Putrajaya, Kuala Lumpur dan
Selangor. Sebab itu kita perlukan projek Langat 2 supaya pengguna air
tidak terjejas," kata beliau.
Daerah yang terjejas adalah sekitar Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah
Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
Dalam pada itu, Pembantu Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal
Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata niat syarikat konsesi
tersebut adalah untuk memberi ingatan serta agar mereka mengetahui
tentang krisis air atau masalah yang mungkin melanda mereka.
"1 juta pengguna bukan angka kecil. Kami bukan cuba untuk wujudkan
panik tapi hanya mahu memberitahu orang ramai tentang apa yang berlaku
dan kami sampaikan situasi tersebut.
"Pada masa sama berharap mereka dapat menguruskan dengan baik apabila gangguan air berlaku," terang beliau.
Awal hari ini, Wong membidas Syabas kerana "mewujudkan panik dikalangan
orang awam" ekoran tumpahan minyak di Sungai Selangor yang menyebabkan
gangguan air besar-besaran di Lembah Klang.
Beliau berkata Syabas tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang
menyebabkan orang ramai panik, malah punca tumpahan minyak tersebut juga
tidak benar seperti yang dikatakan.
Beliau berkata empat loji yang ditutup sebelum sudah beroperasi semula
pada jam 4 pagi tadi dan mula merawat sepenuhnya pada jam 6 pagi.
"Simpanan air sudah penuh," kata beliau sebaik Syabas semalam mengaktifkan pelan kecemasan ekoran tumpahan minyak tersebut.
Wong berkata Syabas tersalah beri maklumat kepada orang ramai tentang perkara tersebut.
"Adakah ini gangguan air? Ya. Adakah tumpahan itu teruk? Ya. Adakah ia
krisis? Tidak. Kerana kita sudah mula menanganinya sejak petang
semalam," kata Wong kepada The Malaysian Insider.
Bengkel tersebut telah pun ditutup selepas diberikan notis arahan,
malah Wong juga berkata tindakan undang-undang bakal dikenakan ke atas
pihak tidak bertanggungjawab tersebut.
"Sepatutnya bengkel tersebut menyimpan minyak dalam tong, tapi
sebaliknya yang berlaku... ia menyebabkan minyak tersebut mengalir dan
masuk ke dalam sungai," tambah beliau lagi.
Menurut Wong lagi, semua minyak telah dikeluarkan daripada sungai dan
bekalan air akan pulih secara berperingkat bergantung kepada lokasi
kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan air.
"Semua minyak telah dikeluarkan, bekalan air yang terganggu akan pulih berperingkat.
"Kalau jauh lokasi dengan loji mungkin memakan masa sedikit, tapi kalau
hampir mungkin akan cepat dapat air semula," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan