1 juta pengguna air terjejas Abdul Halem (dua, kanan) menghidu bau air yang tercemar akibat tumpahan diesel di Muka Sauk LRA Rantau Panjang.
 
KUALA SELANGOR - Hampir sejuta pengguna air di tujuh wilayah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bakal terjejas apabila empat loji dihentikan tugas selepas mengesan pencemaran air akibat tumpahan diesel di hulu Sungai Selangor kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Sinar Harian difahamkan, wilayah Syabas yang bakal mengalami tekanan air rendah dan gangguan bekalan air di kawasan Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor manakala tiga kawasan tidak terjejas adalah Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som menjelaskan, operator empat loji iaitu  Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) terpaksa ditutup sementara.

Menurutnya, punca tumpahan minyak diesel yang dikesan operator loji kira-kira 10 kilometer dari muka sauk iaitu dari kawasan Rawang itu masih belum diketahui dan pihaknya tidak boleh menjangka masalah itu dapat diselesaikan dalam tempoh segera.

“Syabas turut mengaktifkan kod merah dan penutupan empat loji ini akan menjejaskan banyak kawasan kerana ia membekalkan 57 peratus kapasiti pengeluaran air setiap hari iaitu 4,660 Juta Liter Sehari (JLH), malah tumpahan minyak dapat disaksikan dengan jelas di muka sauk ini.

“Meskipun malam ini dijangka loji beroperasi semula namun tempoh pemulihan mengambil masa kerana kita tiada lebihan kapasiti memandangkan hanya kurang satu peratus rizab kapasiti bekalan air terawat sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Halem berkata, pihaknya turut menasihatkan pengguna supaya dapat berjimat cermat sementara berdepan dengan gangguan air yang tidak berjadual ini memandangkan mereka hanya bergantung kepada simpanan air di kolam imbangan atau tangki perkhidmatan sahaja.

“Manakala kawasan perumahan yang tiada kemudahan tangki akan berdepan masalah manakala Syabas turut menjangkakan kawasan yang tinggi dan jauh dari kolam air akan menjadi kawasan yang terakhir untuk pulih sepenuhnya secara berperingkat.

“Oleh kerana gangguan air ini melibatkan hampir 60 peratus pengguna, Syabas tidak mempunyai kapasiti yang cukup untuk membekalkan air melalui lori tangki dan tangki statik dan mungkin akan menggerakkan tangki ke kawasan yang memerlukan.

“Kita sudah memaklumkan kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan berhubung masalah berkenaan malah difahamkan ada tindakan pembersihan dilaksanakan pihak berkaitan bagi membantu menyelesaikan masalah pencemaran ini,” katanya yang memaklumkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Merah diaktifkan oleh Syabas  kira-kira jam 4 petang semalam.