KUALA LUMPUR - Institusi pengajian tinggi tempatan perlu melahirkan lebih ramai pakar profesional keselamatan dalam teknologi maklumat (IT) memandangkan jenayah dan ancaman siber semakin pesat berkembang di peringkat global.
  
Tenaga pengajar latihan keselamatan IT dari Sans Institute yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Chris Farrow berkata sokongan kerajaan amat penting bagi menggalakkan institusi pengajian tinggi tempatan melatih penuntut mereka dalam bidang keselamatan maklumat.
  
"Kita perlu lebih ramai penuntut dalam latihan dan program utama di universiti, kita memerlukan perkara sedemikian di Malaysia untuk mengembangkan aspek pengetahuan," katanya kepada Bernama pada persidangan antarabangsa mengenai Keselamatan IT dan Pengurusan Risiko di sini hari ini.
  
Persidangan dua hari itu disertai lebih daripada 300 pemimpin korporat dan profesional pengurusan risiko di seluruh dunia.
  
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan dipetik sebagai berkata pesalah jenayah siber menjejak mangsa mereka melalui e-mel atau SMS menggunakan komputer dan telefon bimbit.

Berdasarkan statistik polis, kerugian akibat jenayah siber mencecah RM1.6 bilion tahun lepas berbanding RM1.1 bilion pada 2011. 
  
Pengarah urusan Condition Zebra Wilson Wong berkata 55 peratus organisasi di seluruh dunia tidak menyedari mengenai pencerobohan yang berlaku ke atas mereka dan hanya segelintir yang mengetahui pada tahap mana serangan itu atau siapa sebenarnya di sebalik serangan itu.
  
"Setiap organisasi berdepan dengan ancaman keselamatan yang sentiasa berkembang disebabkan amalan perniagaan meragukan.
  
"Risiko itu ada dan sukar diramal, berpeluk tubuh hanya akan meletakkan organisasi itu dalam keadaan bahaya dan membawa kerosakan teruk ke atas aset mereka apabila serangan itu berlaku," katanya.
  
Oleh itu, untuk kekal kompetitif, beliau mengesyorkan supaya setiap organisasi mewujudkan satu sistem pematuhan berkesan yang menyeluruh dan mempunyai gambaran jelas mengenai kawalan terhadap akses dalam persekitaran perniagaan mereka bagi mengurangkan risiko. - Bernama