Tanda Putera Tanda Putera
GEORGETOWN - Walaupun belum disiarkan, filem Tanda Putera yang didakwa mengandungi babak kontroversi terus dikritik dan diusahakan untuk tidak disiarkan kepada umum.

Langkah itu dibuat kerajaan negeri kerana filem yang dihasilkan pengarah terkenal, Datin Paduka Shuhaimi Baba dikatakan mengandungi unsur fitnah yang boleh mencetuskan kebencian kaum.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri akan meminta semua pemilik pawagam supaya tidak menyiarkan filem itu atas alasan kestabilan dan keamanan masyarakat di negeri ini.

Guan Eng berkata, pihaknya kesal kerana Kementerian Penerangan dan Komunikasi terus membenarkan penayangan filem berkenaan walaupun tidak mengeluarkan babak-babak fitnah yang boleh mencetuskan ketegangan.

“Di dalam filem itu ada ditayangkan beberapa pemuda Cina yang kencing di perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor dan kencing atas bendera Malaysia.

“Pengarah filem itu sebelum ini menyatakan perkara itu tidak pernah berlaku dan beliau memasukan babak itu supaya ia lebih kelihatan menarik dan kreatif. Bagaimanapun unsur kreatif bukanlah lesen untuk mereka menipu dan ia amat membimbangkan kerana mampu menimbulkan sentimen yang berbahaya,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Guan Eng berkata, walaupun kejadian kencing di dalam kediaman rasmi Menteri Besar Selangor itu tidak pernah berlaku namun ia sengaja direka dan dimasukkan dalam filem berkenaan.

Katanya, beliau bimbang selepas tersiarnya filem itu akan menimbulkan keadaan yang berbahaya.

“Saya tak faham kenapa kerajaan tidak bertanggungjawab membelanjakan duit rakyat untuk menghasilkan filem fitnah dan merbahaya ini.

“Saya tidak boleh terima apabila perkara 13 Mei yang terlalu sensitif ditayangkan dengan babak-babak fitnah yang tidak pernah berlaku dan ia juga dilihat seolah-olah negara mengagung-agungkan cerita fitnah dari perkara benar,” katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata, beliau akan meminta Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow untuk berjumpa dengan semua pemilik pawagam di negeri ini dan memohon agar filem itu tidak disiarkan.

Filem Tanda Putera mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail, yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan negara ekoran peristiwa hitam 13 Mei 1969.  Ia akan mula disiarkan di pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini 29 Ogos.

Tanda Putera dibintangi barisan pelakon hebat, antaranya Rusdi Ramli (Tun Abdul Razak), Zizan Nin (Tun Dr Ismail), Faezah Elai (Toh Puan Rahah) dan Linda Hashim (Toh Puan Norashikin).

Filem hasil kerjasama Pesona Pictures dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) ini juga menelan kos, iaitu RM4.8 juta termasuk promosi.