PAS hari ini membuat tiga laporan polis berhubung dakwaan kesalahan membabitkan Borang 14 pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu.

Tiga laporan polis itu dibuat Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub membabitkan Parlimen Pulai, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad bagi parlimen Kuala Selangor dan Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi untuk Titiwangsa, lapor Harakahdaily.

Laporan itu dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi pagi ini.

NONELaporan portal berita PAS itu memetik peguam Mohamed Hanipa Maidin (kiri) sebagai berkata, laporan polis dibuat berkaitan pelanggaran Seksyen 4(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengenai kesalahan pengisian dalam Borang 14 yang dibuat oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM).

Beliau yang juga ahli parlimen Sepang berkata laporan polis akan turut dibuat di seluruh negeri khususnya negeri yang telah difailkan petisyen.

Sebelum ini, Hanipa dilapor berkata laporan polis dibuat kerana mahkamah pilihan raya tidak menerima kesalahan KTM yang tidak mengisi maklumat tepat dalam Borang 14 sebagai kesalahan dalam pilihan raya umum lalu dan menganggapnya sebagai kesalahan jenayah.

"Ini merupakan laporan polis pertama berhubung dengan kesalahan pemalsuan Borang 14 dan kita akan turut membuat laporan di seluruh negara terutamanya membabitkan tempat-tempat petisyen dikemukakan," katanya seperti dilapor dalam portal lidah rasmi PAS itu.

"Pihak peguam akan sentiasa berhubung dengan pihak polis bagi mengetahui perkembangan lanjut berkenaan dengan laporan yang telah dibuat ini, kita mahu ia disiasat dengan adil," katanya lagi hari ini.

Hanipa juga berkata satu memorandum akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh pimpinan tertinggi PAS dalam masa terdekat berhubung kesalahan pilihan raya dan juga dakwaan kepincangan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).