HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Ogos 2013

MAIPP Diarah Segera Siasat Isu Kain Rentang Pamer Masjlid Dan Arak

 MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) diarah segera menyiasat isu kain rentang yang digantung di sebuah pusat hiburan di negeri itu dengan mempamerkan gambar masjid bersama-sama arak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu bagi mengenal pasti kedudukan sebenar isu tersebut selain mengelakkan sensitiviti sesuatu agama diganggu daripada terus berulang.

"Kita minta MAIPP segera siasat kes seperti ini sebab kita tak mahu lagi banyak isu melibatkan sensitiviti agama timbul," katanya pemberita ketika diminta mengulas isu itu di sini, Khamis.

Berdasarkan laporan media, sebuah pusat hiburan di Jalan Penang, Pulau Pinang mempamerkan kain rentang berlatar belakang gambar masjid itu bertulis, 'Selamat HariRaya & Merdeka, Spend Up RM150 to have a chance to win: 2 bottles Champange, 1bottle of Martell, 1 carton Tiger, 2 bucket Tiger', bermula 7 Ogos hingga 31 Ogos ini.

Jamil Khir sebelum itu hadir ke Majlis Jasamu Dikenang bagi meraikan persaraan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali yang bersara secara rasmi mulai 6 Ogos lepas.

Sementara itu, Che Mat berkata, Jawi sedang menyediakan kertas kerja untuk menaik taraf surau di pusat beli-belah, tempat tumpuan orang awam dan institusi kewangan di ibu negara untuk dijadikan surau Jumaat.

"Kertas kerja itu disediakan bersama-sama pejabat mufti untuk kenal pasti lokasi yang betul-betul sesuai jadi surau Jumaat sebelum dinaik taraf kemudahan di situ bagi memudahkan orang awam menunaikan kewajipan mereka," katanya.

Katanya, langkah itu adalah pelan jangka panjang Jawi untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai contoh terbaik yang menawarkan kemudahan tempat ibadah untuk umat Islam di sini. - BERNAMA

Tiada ulasan: