HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Ogos 2013

Malaysia wajar tulis peranan rakyat pelbagai lapisan tuntut Merdeka

KEADILAN DAILY

SHAH ALAM:  Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penglibatan pelbagai lapisan rakyat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan perlu ditulis dalam sejarah Malaysia.

“Keterlibatan rakyat pelbagai lapisan menuntut kemerdekaan perlu ditulis dalam sejarah Malaysia agar generasi seterusnya mendapat maklumat dan fakta sebenar,” kata Khalid Ibrahim dalam perutusan kemerdekaan ke-56.

Beliau menyeru rakyat Malaysia tidak melupakan pengorbanan orang terdahulu dalam usaha menuntut kebebasan tanahair daripada belenggu penjajahan.

“Orang Melayu dari pemimpin, pegawai, buruh, guru dan ulama serta kaum India dan Cina sama terlibat dalam gerakan anti-British, perjuangan nasionalisme, penaklukan Jepun, ancaman komunis dan perisytiharan darurat

.Tunku_Merdeka

“Penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union, penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948, perjuangan dan perundingan kemerdekaan Tanah Melayu 1957 dan pembentukan Malaysia 1963,” kata Khalid.

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata, sejarah kemerdekaan negara ini wajar dikaji dan ditulis semula kerana terdapat fakta tidak jelas.

Katanya, penulisan semula perlu dilihat dari aspek gambaran sebenar peristiwa kemerdekaan memandangkan terdapat perbezaan pendapat di kalangan sejarawan dan ahli akademik.

Tegas Khalid, konsep kemerdekaan bukanlah segala-galanya bebas, namun dengan batas moral dan etika.
“Rakyat Malaysia tertakluk kepada ajaran agama, adat istiadat serta perlembagaan negeri dan negara,” katanya.

Tiada ulasan: