Roketkini.com
KUALA
LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok hari ini
menyelar sikap tidak bertanggungjawab Menteri Pendidikan, Tan Sri
Muhyiddin Yassin kerana mendiamkan diri terhadap insiden yang berlaku di
Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana baru-baru ini.
Beliau berkata, tindakan mendiamkan diri Muhyiddin bukan
saja tidak menyelesaikan masalah malah ianya melanggari apa yang tertera
dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
Menurutnya, kabinet seharusnya perlu melakukan tindakan
serta merta ke atas masalah dan isu-isu sekolah berkenaan kerana ianya
tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana akan mendatangkan kesan buruk.
“Orang yang paling bertanggungjawab untuk menangani masalah
yang terjadi di SK Seri Pristana adalah Menteri Pendidikan, Muhyiddin
Yassin. Ia amat membingungkan dan sukar untuk dipercayai apabila beliau
boleh mendiamkan diri dan tidak mengambil sebarang langkah sehingga hari
ini.
“Sikap mendiamkan diri beliau telah menimbulkan keraguan
dan ramai yang mula mempersoalkan apakah beliau layak untuk menjadi
Menteri Pendidikan?
“Saya cenderung untuk bersetuju dengan bekas anggota
kabinet, Zaid Ibrahim apabila beliau dalam akaun peribadi laman sosial,
Twitter mempersoalkan ‘Macam mana Education Blueprint kalau sekolah Seri
Pristina tak boleh selesai’. Bolehkah anda menjawap soalan ini
Muhyiddin?,” soalnya dalam kenyataan.
Dilaporkan semalam tiga murid-murid bukan Islam SK Seri
Pristana telah meninggalkan sekolah itu dan 10 yang lain juga akan untuk
mengikut langkah yang sama kerana telah dibuli dan diugut.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seri Pristana juga
menyatakan nasib anak-anak mereka berada dalam kegelapan jika terus
kekal disitu..
Teresa yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP turut
melahirkan kekesalannya berhubung masalah buli serta ugutan yang terjadi
di SK Seri Pristana sehingga mendatangkan pelbagai masalah kepada
murid-murid dan ibu bapa mereka.
“Amat mengejutkan dan menyedihkan apabila masalah buli dan
ugutan ini tidak dapat ditangani di peringkat awal sewaktu pemberi
maklumat, Gunewsari Kelly mula mendedahkannya.
“Sekarang, masalah ini sudah menjadi semakin besar.
Memindahkan anak-anak mereka ke sekolah baru juga boleh menimbulkan
masalah dan kesulitan lain seperti isu-isu pengangkutan dan sebagainya.
Tapi ibu bapa mana yang mahu membiarkan anak-anak mereka menderita sakit
dibuli dan dipulaukan?
“Ia juga sangat membimbangkan jika keseluruhan masalah ini
kemudiannya boleh menjadi masalah perkauman apabila pelajar yang dibuli
datang dari satu kaum,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau juga mengecam tindakan polis yang melakukan siasatan terhadap pelajar-pelajar tersebut.
“Penjelasan polis bahawa pelajar-pelajar itu bukannya
disoal siasat tapi hanya ‘ditemuramah’ adalah tidak wajar dan tidak
boleh diterima sama sekali. Polis berhak untuk dikritik kerana
‘menemuramah’ pelajar-peljar dan menyebabkan trauma kepada mereka.
“Bagaimana polis boleh menjadi begitu tidak profesional dan
tidak sensitif untuk memahami bagaimana pelajar-pelajar sekolah rendah
akan bertindak balas terhadap ‘temuramah’?
“Polis perlu memohon maaf kepada ibu bapa kanak-kanak di
atas tindakan ini dan pihak berkuasa juga harus menyediakan bantuan
kaunseling kepada pelajar-pelajar yang mengalami trauma psikologi akibat
buli serta ‘temuramah’ itu,” tegasnya. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan