HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Ogos 2013

Projek ‘gajah putih’ Pahang jejas bekalan air Orang Asal

Oleh Azuan Ab Rahman

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menyelar Kerajaan Negeri Pahang kerana gagal memastikan rakyat negeri itu mendapat bekalan air bersih.

Beliau mengulas isu projek bekalan air bersih dari sumber bawah tanah di enam perkampungan Orang Asal dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan yang kini menjadi projek ‘gajah putih’.

airbera

Akibat kegagalan projek bernilai RM10 juta itu, lebih 2,000 Orang Asal dari kampung terbabit terdedah dengan masalah kesihatan apabila mereka terpaksa bergantung kepada sumber air sungai yang dikhuatiri dicemari kesan buangan sisa racun pertanian.

“Kerajaan Negeri Pahang nyata gagal menyelesaikan isu ini. Walaupun negara merdeka hampir 56 tahun, terbukti masih ada rakyat yang tidak mendapat bekalan air bersih.

“Malah lebih teruk bila isu ini melibatkan rakyat di negeri kelahiran dua orang Perdana Menteri, dan ini sangat memalukan,” ujar Fuziah kepada Keadilan Daily.

Katanya, isu projek ‘gajah putih’ itu bukan perkara baru kerana Bob Manolan, calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan juga Timbalan Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal KEADILAN, sudah beberapa kali membangkitkannya.

Menurut Fuziah yang juga Naib Presiden KEADILAN, satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kepincangan dalam projek berkenaan dibuat Bob Manolan sebelum pilihan raya umum lalu.

“Kita mahu perkara ini disiasat kerana ia berkaitan kepentingan rakyat. Saya akan menghubungi kembali SPRM bagi mengetahui status siasatan berhubung laporan berkenaan,” jelasnya.

Antara penempatan Orang Asal yang tidak mendapat bekalan air bersih kerana kegagalan projek tersebut ialah Kampung Pasal, Kampung Lubuk Tembangau, Kampung Saba Serting, Kampung Pathir, Kampung Lubuk Perah dan penempatan Orang Asal Pos Iskandar.

Projek bekalan air yang diperoleh daripada sumber air bawah tanah dengan menggunakan pam galas sepatutnya mula berfungsi sejak dua tahun lalu tetapi gagal berikutan ‘masalah dalaman’ yang dihadapi kontraktor dilantik memasang dan menyelenggara pam berkenaan.

Tiada ulasan: