SHAH ALAM: Sejumlah RM26.8 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri sehingga kini bagi pelaksanaan Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Pangsapuri (Ceria) di seluruh Selangor.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata daripada jumlah itu sebanyak 103 kawasan dibaik pulih pada penggal pertama, manakala 54 kawasan lagi diluluskan pada penggal kedua.
Katanya, kebanyakan pangsapuri kos rendah dibina kurnag berkualiti sehingga memaksa Kerajaan Negeri untuk tampil membantu dan mengeluarkan peruntukan bagi usaha baik pulih.
“Satu rumah cuma perlu bayar RM5 dan kita sedang mempertimbangkan 50 kawasan lagi untuk mendapat bantuan Skim Ceria ini,” katanya dalam segmen Selangorku, di sini, baru-baru ini.
Katanya, Kerajaan Negeri turut melancarkan program Seroja iaitu sebuah skim rondaan keselamatan dan kejiranan di kawasan pangsapuri, selain Skim Ceria.
Iskandar berkata, program Seroja mensasarkan 50 tempat untuk menjayakannya dengan diberi peruntukan RM5,000 bagi membeli peralatan dan baju pantulan cahaya.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan 254 kawasan pangsapuri sudah menikmati pemberian air percuma hasil migrasi daripada meter pukal kepada meter individu.
“Dalam lima tahun, kita berjaya beri air percuma kepada kira-kira 60,000 unit rumah, yang mana hampir suku juta penduduk dapat nikmat air percuma melalui migrasi meter paip air,” katanya.
-NFN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan