HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS hari ini mempersoal projek pembinaan satu kompleks pejabat di Parcel F, Presint 1, Putrajaya yang melibatkan kos RM1.6 bilion.
Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad (PAS-Kuala Terengganu) berkata, apa yang dipertikaikan adalah proses pemberian tender kepada kontraktor.
Menurut beliau, daripada berpuluh-puluh kontraktor, hanya empat sahaja yang disenarai pendek selepas melepasi proses pemilihan yang terperinci.
Keempat-empat kontraktor yang melepasi pra-kelayakan ini kata beliau, telah menyediakan bank guarantee berjumlah RM26 juta sebagai deposit dan stanby revolving working capital berjumlah RM30 juta.
Bagaimanapun menurut beliau, pada Mac 2014, ada kontraktor tertentu menerima surat memaklumkan bahawa mereka tidak berjaya, tanpa dipanggil.
"Yang menimbulkan persoalan, kenapa dari empat yang tinggal ini, hanya satu dipanggil untuk rundingan seterusnya.
"Antara yang tidak dipanggil adalah kontraktor bumiputera, sedangkan kerajaan kata mahu bela bumiputera," soal beliau.
Projek kelolaan Putrajaya Holdings itu didakwa melibatkan empat pakej berasingan termasuk penempatan Jabatan Audit Negara, Unit Kawal Selia Felda, JKR Wilayah Persekutuan, Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Lanskap Negara, Jabatan Perangkaan dan Unit Kerjasama Awam Swasta.
Sementara itu Khalid Samad (PAS-Shah Alam) pula berkata, apa yang lebih menimbulkan persoalan adalah, mengapa tawaran yang diterima pula adalah yang paling mahal.
"Beza dengan yang paling murah adalah sekitar RM150 juta, kenapa tetap memilih yang lebih mahal.
"RM150 juta pada kita itu satu jumlah yang sangat besar, dalam keadaan ekonomi negara yang suram ini" kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan