HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Mac 2014

Wartawan juga harap 'keajaiban' buat MH370

MALAYSIAKINI


 


Pengamal media tempatan dan asing memberi pelbagai reaksi berhubung perkembangan terkini penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi.

Tinjauan Bernama di Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati ada yang meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap hasil penemuan yang diperoleh berdasarkan data satelit milik syarikat United Kingdom, Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB).

Namun tidak kurang yang mengharapkan 'keajaiban' akan berlaku dan mengubah nasib 227 penumpang dan 12 anak kapal yang menaiki pesawat MH370 pada 8 Mac lepas.

Seorang pengamal media tempatan, Frady Bungga, 32, dari Harian Metro, berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah petunjuk terbaik yang ada ketika ini meskipun tiada bukti kukuh seperti penemuan serpihan pesawat terbabit.

"Sebagai wartawan yang terlibat dalam liputan tragedi ini, saya yakin dengan ketepatan teknologi Inmarsat dan AAIB, yang mana ia juga buat pertama kalinya digunakan bagi mengenal pasti kedudukan pesawat.

"Saya juga yakin dengan keupayaan teknologi yang digunakan pelbagai negara dalam usaha mencari dan menyelamat," katanya kepada Bernama di Sepang semalam.

Sandra, 32, seorang wartawan penyiaran sebuah stesen televisyen Perancis pula berkata: "Saya percaya apa yang dimaklumkan oleh pihak berkuasa Malaysia semalam berhubung pesawat yang hilang dan mungkin apa sahaja boleh berlaku kepada mereka yang berada dalam pesawat itu.

Sandra, yang berada di Kuala Lumpur sejak Jumaat lepas, bagaimanapun berkata insiden ini akan menjadi pengajaran kepada semua terutama industri penerbangan dalam memperketat tahap keselamatan dan teknologi mereka.

Bagi Kuan Thai Far, 34, dari akhbar berbahasa Cina United Daily di Sarawak, meskipun harapan untuk melihat pesawat MH370 pulang dengan selamat adalah tipis, namun beliau berharap berlaku keajaiban yang membolehkan kesemua penumpang dan anak kapal berada dalam keadaan selamat.

"Walaupun keletihan sejak hari pertama berlakunya insiden itu, tetapi atas tugas dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, saya masih tetap meletakkan harapan agar berlaku suatu kejadian luar biasa," katanya.

Seorang wartawan wanita dari Indonesia yang enggan namanya disiarkan pula berkata insiden MH370 dilihat tidak mustahil berlaku kepada mana-mana syarikat penerbangan di dunia meskipun memiliki rekod cemerlang.

"Dalam keadaan apa sekalipun pesawat itu ditemui kelak, anggota keluarga harus menerima dengan pasrah," katanya sambil menambah pihak berkuasa perlu menemui kotak hitam pesawat itu untuk merungkai punca sebenar kejadian.

Semalam, Najib dalam sidang media tergempar, mengumumkan bahawa penerbangan pesawat milik Malaysia Airlines itu  berakhir di selatan Lautan Hindi.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu berdasarkan hasil analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan.

Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi pada 8 Mac.- Bernama

Tiada ulasan: