Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Rentetan pelbagai isu melanda negara
semenjak kebelakangan, antaranya perhimpunan awam yang menimbulkan
rusuhan dan kenyataan berbaur perkauman, Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak dan barisan kabinetnya gagal mengawal sentimen negatif ini
lebih-lebih lagi ketika negara menghampiri ulangtahun kemerdekaan ke-57.
Justeru itu, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng menegaskan
sewajarnya Najib dan pentadbirannya mencontohi tindakan Ketua Pegawai
Eksekutif MRT Corp Datuk Azhar Abdul Hamid yang meletakkan jawatan
berikutan kemalangan di tapak pembinaan projek MRT yang meragut nyawa
tiga pekerja warga asing semalam.
“Najib gagal menjanjikan keharmonian kaum di saat negara
menghampiri ulangtahun kemerdekaan ke-57 beberapa hari sahaja lagi dan
beliau langsung tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah atau
bertanggungjawab ke atas kegagalan tersebut.
“Najib juga kelihatan selamba sahaja bersetuju dengan
kenyataan-kenyataan perkauman, termasuk kenyataan ‘balik Tongsan’ oleh
orang yang sama yang mengetuai rusuhan di ibu pejabat DAP.
“Sewajarnya Najib dan pentadbirannya mencontohi tindakan
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Azhar Abdul Hamid yang meletakkan
jawatan,” kata Lip Eng dalam satu kenyataan.
Pada 18 Ogos, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir membuat
kenyataan menarik balik sokongan dan mengkritik kerajaan Najib Razak
kerana prestasinya lebih buruk daripada penggantinya Tun Abdullah Ahmad
Badawi.
Dr Mahathir dalam tulisan di blognya menyindir Najib Razak
dengan analogi ‘Datuk-datuk’ yang memberikan nasihat salah kepada ‘raja’
hanya kerana ingin menyenangkan hati ketuanya itu
Kata Lip Eng, pujian atas pendekatan Najib menangani
tragedi MH17 yang kononnya lebih hebat daripada Presiden Amerika
Syarikat Barack Obama dan Presiden Rusia Vladimir Putin oleh bekas
pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak boleh
menjadi ukuran prestasi Perdana Menteri, apabila beliau ternyata telah
gagal dalam banyak hal lain.
“Beliau ternyata telah gagal dalam banyak hal lain.
Kejadian-kejadian di tanah air sendiri terus gagal ditangani; termasuk
kejadian pencerobohan dan penculikan yang terus berlaku berulang kali di
Sabah contohnya,” kata Lip Eng.
Pakatan Rakyat sebelum ini berulang kali mendedahkan salah
laku, pembaziran dan kepincangan urustadbir melibatkan pentadbiran Najib
Razak setiap kali pembentangan Bajet pada bulan Oktober.
Laporan institusi audit dan kewangan antarabangsa,
badan-badan hak asasi dan pemetau kualiti pendidikan dalam laporannya
menyatakan bahawa kedudukan Malaysia semakin merudum dania berlaku
ketika pentadbiran Najib Razak.
Malah, Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun mendedahkan
perincian perbelanjaan negara yang tidak perlu selain pembaziran oleh
semua kementerian sepanjang enam tahun pentadbiran Najib Razak sebagai
Perdana Menteri.
Justeru kata Lip Eng tindakan meletakkan jawatan sebagai
sikap bertanggungjawab atas sesuatu kegagalan
yang belum menjadi amalan di negara ini wajar dijadikan tauladan oleh pemimpin politik di negara ini
“Adakah Najib dan anggota kabinetnya akan menjadikan Datuk
Azhar sebagai contoh bukan sekadar menerima pujian untuk sesetengah hal,
tetapi lari dari tanggungjawab dan kegagalan untuk banyak hal yang
lain,” ujarnya – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan