HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Ogos 2014

PASMEB : JPP PKR Terlibat dalam Penipuan Pemilihan Pusat

Amirul Ashraff


alt
 


PUTRAJAYA - Pakatan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (PASMEB) mendakwa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menjalankan tugas yang diberikan dengan amanah apabila terlibat dalam penipuan dan penyelewengan ketika pemilihan peringkat pusat yang diadakan baru-baru ini.

Aktivis PASMEB, Ally Hazran berkata, pihaknya mempunyai beberapa bukti termasuk rakaman video melibatkan pusat pemilihan cabang Gombak di mana Ketua JPP telah bertindak memangkah bagi pihak pengundi.

"Penyelewengan JPP terutamanya Pengerusi JPP PKR, Datuk Johari Abdul yang tidak melakukan kerjanya sewaktu pemilihan pusat yang berlangsung.

"Kami mempunyai bukti di kawasan Gombak melibatkan pertembungan Datuk Mazlan lawan Azmin Ali di mana Ketua Pengawas Pusat Pengundian Gombak telah memangkah bagi pihak pengundi dan buktinya terdapat pada rakaman video yang telah saya rakamkan pada hari itu," katanya kepada pemberita di Bangunan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, 867 bantahan telah dilakukan pada JPP tapi sehingga pada hari ini tiada sebarang tindakan yang diambil oleh itu Datuk Johari dan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong perlu bertanggungjawab terhadap tindakan tidak bertanggungjawab ini.

"Sebanyak 867 bantahan telah diserahkan kepada JPP tapi hingga kini banyak keputusan tidak memihak pada individu yang melakukan bantahan.

"Apabila kami bertanya mereka hanya memberi alasan belum dikeluarkan sehingga keputusan rasmi yang diumumkan oleh JPP.

"Kami mahu Datuk Johari dan Datuk Dr Tan Kee Kwong untuk bertanggungjawab dan menjawab semua perkara ini," katanya lagi.

Tambah Ally Hazran, pucuk pimpinan PKR juga telah melanggar perlembagaan undang-undang parti dengan memecat ahli mereka terlebih dahulu tanpa memberi surat salah laku.

"Ramai di antara kami telah dipecat. Surat diberi lambat tapi mereka dipecat dulu dan ini merupakan bukan mengikut perlembagaan undang-undang parti.

"Salah satu untuk membuatkan parti berkembang adalah dengan mengambil satu langkah dengan betul bukan memecat ahli dengan sewenang-wenangnya.

"Di mana ketulusan parti? Di mana ketulusan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Dan di mana ketulusan pegawai-pegawai dan pemimpin parti?" soalnya.

Tiada ulasan: