Beliau menyatakan demikian merujuk kepada lebih 500 orang peneroka Felda Palong 8 di Negeri Sembilan diminta menandatangani satu surat akujanji sebagai permohonan maaf atas saman yang difailkan ke atas agensi tersebut.
Surat tersebut dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) Felda Palong 8 pada hari Jumaat lalu.
"Kita mengingatkan agar peneroka jangan mudah menandatangani akujanji tersebut kerana mereka mempunyai terma dengan peguam yang dilantik sebelum ini ketika menyaman Felda.
"Kes ini belum selesai dan saya risau ia akan memberi kesan kepada saman tersebut, mereka perlu merujuk kepada peguam untuk mengelakkan sebarang implikasi," katanya ketika ditemui Harakahdaily.
Mazlan turut kesal dengan tindakan tersebut dan menyifatkannya tidak demokratik dari pihak pengurusan Felda.
Katanya, Felda sepatutnya meraikan kepentingan peneroka kerana mereka merupakan pemilik tanah yang mereka usahakan.
"Mana boleh Felda mengenakan tindakan terhadap peneroka, sedangkan peneroka merupakan tuan tanah tersebut.
"Bila peneroka dinafikan hak, mereka cuba berunding dengan Felda dengan isu-isu ketidakadilan yang berbangkitkan tetapi Felda mengganggap remeh dengan isu-isu ini.
"Saya katakan remeh sebab tidak ada tindakan-tindakan proaktif yang diambil Felda untuk menyelesaikan persoalan yang dibangkitkan oleh mereka," katanya.
Tambah beliau, apabila saluran perundangan digunakan peneroka bagi menuntut keadilan, Felda mengganggap itu sebagai satu tindakan yang tidak mengenang jasa.
"Bila mereka beranggapan sedemikian mereka mula mengugut dan mengancam termasuk bila pengumuman Perdana Menteri tentang wang saguhati raya dan juga dividen, Felda buat kenyataan menyekat peneroka-peneroka yang menyaman untuk mendapatkan wang tersebut.
"Sampai sekarang peneroka tak apat duit tersebut, jumlah mereka hampir 4,000 orang, saya tidak mahu membuat sebarang tuduhan dan daripada aduan yang diterima saya kesal kerana tindakan tersebut tidak demokratik.
"Dan lebih malang apabila ada peneroka yang telah menandatangani akujanji tersebut tetapi sampai sekarang tidak mendapat apa-apa bayaran langsung sehingga ke hari ini dan ini merupakan keadaan yang amat malang kepada peneroka," sambung beliau. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan