HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Mei 2016

Terlalu awal PAS umum mahu tanding PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar - BN Selangor

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar menyifatkan PAS sebagai gila kuasa kerana terburu-buru mengumumkan untuk bertanding di dua kerusi Parlimen di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak sekiranya berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK).
 
Ujar Noh, tindakan PAS itu dilihat terlalu gopoh tatkala pengundi di dua kawasan terbabit masih bersedih ekoran kehilangan wakil rakyat mereka.
 
Apatah lagi, sehingga kini Speaker Dewan Rakyat belum mengumumkan kekosongan kerusi berkenaan.
 
"Saya tidak hairan kerana mereka ini saya katakan tamak kuasa, dan tidak kira nak bertanding sesama sendiri masing-masing sudah isyihar. Saya lihat keadaan pembangkang mereka sudah tentu akan mengambil kesempatan dalam isu yang dibangkitkan kerana mereka sudah ditolak oleh rakyat Sarawak.
 
"Saya yakin bahawa bahang rakyat tolak pembangkang ini akan sampai ke (Sungai Besar) dan rakyat boleh menilai mana satu fakta, dan fitnah," katanya ketika merasmikan Klinik Desa Padang Jawa, di sini hari ini.
 
Noh Omar yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali bahawa parti itu akan meletakkan calon mereka di kerusi tersebut.
 
Mengulas mengenai kebarangkalian berlakunya pertindihan kerusi dalam kalangan pembangkang seperti yang terjadi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini, Noh berkata mustahil perkara itu berlaku.
 
Ini kerana, jelas beliau pembangkang boleh bekerjasama dalam mengekalkan kuasa mereka di Selangor.
 
"Saya kata mereka melihat dimana kepentingan mereka, kalau mereka macam di Sarawak tidak menang, mereka akan lawan sesama sendiri sekiranya demi kepentingan mereka. 
 
"Kalau nampak mereka akan menang, mereka akan bersatu. Jadi saya ingat kalau di Selangor kita lihat apa pun berlaku dalam kerajaan (negeri) sepatutnya PAS tidak ada dalam kerajaan tetapi masih dalam kerajaan. Tidak mustahil akhirnya mereka akan berkompromi yang penting bagi mereka adalah kuasa," jelas Noh.
 
Dalam pada itu, beliau yakin BN Selangor optimis pengundi Cina akan kembali memilih parti itu ekoran prestasi memberangsangkan di Sarawak.
 
"Kalaulah berlaku PRK di Sungai Besar itu kita boleh lihat kerana disitu pengundi Cina 31 peratus, Melayu 68 peratus dan India 2 peratus, disitu nanti kita boleh nampak samada peningkatan pengundi Cina kita boleh lihat tetapi saya lihat daripada senario yang berlaku di Sarawak, saya yakin bahawa pengundi Cina akan kembali menyokog BN. 
 
"Rakyat kena pilih wakil BN kalau pembangkang menang pun, kerajaan tetap BN. Tidak boleh merubah kerajaan pun. Lebih baik bersama kerajaan, bila bersama rakyat akan lebih banyak faedah daripada kerajaan Persekutuan. Saya nampak kita ada peluang cerah tetapi saya kata kita kena tunggu pengumuman SPR," katanya.
 
Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar boleh dilakukan kerana masih berbaki lebih dua tahun sebelum mandat lima tahun Parlimen berakhir.
 
Ini kerana semua 222 ahli Parlimen mengangkat sumpah jawatan pada penggal pertama Parlimen ke-13 pada 24 Jun 2013.
 
Kedua-dua kerusi berkenaan bakal diumumkan kosong oleh SPR berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmadyang terbunuh selepas terlibat dalam mahas helikopter di Sarawak
 
Mengikut Perkara 54 fasal 1 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa jika kekosongan luar jangka berlaku dalam Dewan Rakyat, maka ia hendaklah diisi dalam masa 60 hari selepas tarikh pengosongan jawatan dibuat.
 
 

Tiada ulasan: