SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor berjaya mencapai sasaran
Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan dalam menarik 17,000
pengundi daripada pelbagai parti komponen BN untuk keluar mengundi bagi
Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar Sabtu lepas.
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata pendekatan dan
transformasi baru yang diperkenalkan BN termasuk mengadakan sesi
pemukiman dengan semua pimpinan BN negeri membolehkan ramai pengundi
putih keluar mengundi.
"Pendirian kami di BN adalah kami tidak ambil kira perpecahan dan
kelemahan parti lawan kami, tetapi apa yang ditekankan ialah menguatkan
kedudukan BN sendiri.
"Sebab itulah kami capai matlamat (tarik 17,000 pengundi putih daripada
parti komponen BN). Semua parti komponen termasuk MCA, MIC dan PPP
mencapai KPI masing-masing setelah menunaikan janji, memastikan ahli
mereka keluar mengundi," katanya dalam sidang media di sini.
Dalam PRK Parlimen Sungai Besar, calon BN Budiman Mohd Zohdi menang
besar dengan majoriti 9,191 undi menewaskan calon PAS Dr Abdul Rani
Osman dan calon PAN Azhar Abdul Shukur, dalam pertandingan tiga penjuru.
Noh yang juga Pengarah PRK Parlimen Sungai Besar berkata pendekatan dan
transformasi yang dilakukan dalam PRK itu akan diguna pakai dalam
pilihan raya umum ke-14 akan datang.
Dalam pada itu, beliau berkata kemenangan BN di dua kerusi Parlimen
Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Perak pada PRK itu, membuktikan
Deklarasi Rakyat yang dibawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad tidak relevan dan ditolak rakyat.
"Dr Mahathir sepatutnya mengarahkan deklarasi ini dihentikan sebab tidak beri faedah kepada rakyat.
"Eloklah Tun berehat pada masa ini agar dapat kembali penghormatan daripada rakyat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan