Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
CEPAT, mudah dan sedap. Itu adalah antara tiga faktor utama warga kota lebih selesa memilih untuk menempah juadah berbuka puasa dan sahur melalui perkhidmatan penghantaran makanan terus ke rumah atau pejabat.
Jika sebelum ini bazar Ramadan menjadi kegilaan orang ramai untuk membeli menu berbuka puasa khususnya bagi yang sibuk bekerja, kini servis penghantaran makanan jenis lauk-pauk mula menjadi trend yang semakin mendapat tempat.
Hanya dengan tempahan menerusi aplikasi Whatsapp dan pembayaran secara dalam talian, pelbagai menu masakan kampung sedia dihantar ke destinasi pilihan anda dalam tempoh masa tertentu.
Nurul Hashima menyiapkan bungkusan makanan sebelum dihantar kepada pelanggan.
Bagi Nurul Hashima Abu Aris, 35, perkhidmatan penghantaran makanan yang diusahakannya sejak 2013 kini semakin mendapat tempat di kalangan warga kota.
Bermula sebagai hobi, kini dia mengusahakan servis penghantaran makanan secara sepenuh masa dan dibantu oleh seorang penghantar makanan atau runner.
"Alhamdulillah servis food delivery semakin berkembang dan pada bulan Ramadan kali ini pesanan yang saya terima meningkat dua kali ganda daripada hari-hari biasa.
"Kebanyakan permintaan yang saya terima adalah di kalangan orang yang bekerja. Faktor masa menjadikan mereka memilih perkhidmatan yang saya sediakan," katanya kepada mStar Online.
Menurut Nurul Hashima yang menggunakan laman sosial Instagram @home_food_delivery sebagai medium pemasarannya, permintaan paling tinggi adalah di kalangan pekerja pejabat di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan