HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 Jun 2016

Jangan pertikai tindakan Mastura keluar rumah

Jangan pertikai tindakan Mastura keluar rumah
Sidang media Zambry selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini. –Foto Sinar Harian 
 
 
IPOH - Semua pihak diminta tidak mempertikaikan tindakan Datin Mastura Mohd Yazid keluar rumah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat Kuala Kangsar dalam tempoh edah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu telah diperjelaskan oleh Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria bahawa Mastura dibenarkan keluar bertugas sekiranya mempunyai tuntutan yang memerlukan beliau bertemu rakyat.

Menurutnya, beliau berharap jangan ada mana-mana pihak cuba mengeruh atau mengelirukan seolah-olah Mastura tidak boleh keluar langsung bagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat kerana beliau mempunyai tugas sebagai wakil rakyat yang perlu turun ke bawah.

“Beliau (Mastura) dibenarkan keluar rumah selagi dia tahu dalam tempoh edah empat bulan 10 hari, dia perlu menjalankan tugas dan menyelesaikan masalah rakyat di Parlimen Kuala kangsar.

“Sebagai contoh, satu kampung ni menghadapi masalah dan memerlukan beliau perlu turun ke kampung itu untuk menyelesaikan masalah tersebut jadi dibolehkan. Kalau saja-saja nak turun, itu yang tak boleh,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan Harussani berkata, Mastura dibenarkan keluar bertugas, namun perlu mematuhi syarat iaitu tidak boleh berhias dan menghormati dirinya yang ketika ini masih dalam tempoh edah kerana kematian suami.

Mastura, 55, yang menang kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar yang berlangsung 18 Jun lalu dengan memperoleh majoriti 6,969 undi menewaskan tiga pencabarnya.

Balu kepada Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad itu memperoleh 12,653 undi, menewaskan calon Pas Dr Najihatussalehah Ahmad (5,684 undi), calon Amanah, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883 undi) serta calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya mendapat 54 undi.

Zambry ketika ditanya adakah Perak bercadang untuk membentangkan enakmen yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap penggunaan pingat, bintang dan darjah kebesaran palsu seperti yang dilaksanakan di Melaka, Zambry berkata Kerajaan Negeri bercadang untuk membentangkannya pada persidangan Dun akan datang.

“Kita dah pun minta penasihat undang-undang negeri untuk perhalusi perkara ini melalui peruntukan enakmen sedia ada yang perlu dibawa oleh negeri malah perkara ini juga akan dirujuk kepada Peguam Negeri terlebih dahulu untuk dapatkan pandangan lanjut.

“Enakmen negeri lain seperti Selangor dan Melaka dan bentangkan perkara ini , jadi mungkin negeri lain akan turut serta untuk bentangkannya, apa-apa pun kita tunggu apa pandangan Peguam Negara kelak,” katanya lagi.

Tiada ulasan: