Hafiz Yatim
Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa kecuaian Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyebabkan kematian Penolong Pengarah
Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed, lima tahun lalu.
Panel tiga anggota yang diketuai Hakim Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh
berkata, hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam keputusannya
menolak saman itu.
Hakim Zawawi merujuk dua faktor di mana terdapat kecuaian oleh SPRM.
Pertama adalah apabila Ahmad Sarbaini dibawa ke tingkat tiga walaupun
terdapat arahan bahawa semua suspek atau saksi yang disoal siasat mesti
dilakukan di tingkat bawah. Ini berikutan kematian pembantu politik
Teoh Beng Hock, sebelum itu.
Hakim Zawawi berkata, faktor kedua adalah meninggalkan Ahmad Sarbaini keseorangan apabila seorang pegawai ditugaskan menjaganya.
"Dengan ini, mahkamah membenarkan rayuan itu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi," katanya.
Mahkamah menganugerahkan ganti rugi berjumlah RM213,000. Daripada
jumlah itu, M200,000 sebagai bayaran ganti rugi teruk, RM10,000 untuk
perkabungan dan RM3,000 untuk perbelanjaan pengebumian.
Di samping itu, mahkamah mengarahkan SPRM dan kerajaan membayar RM20,000 sebagai kos.
Hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang sama adalah Hakim Vernon Ong Lam Kiat dan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli.
Mereka mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos tahun lalu
yang menolak tuntutan saman balu Allahyarham Ahmad Sarbaini, Masiah@Maziah, 55, dan anaknya Shahril, 32.
Pada 4 April 2014, Masiah memfailkan saman dengan menamakan SPRM,
kerajaan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengarah SPRM negeri ketika itu
Mohamed Yussuf Akope dan lima pegawai lain iaitu Mohamad Fauzi Hussin,
Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamed, L Baskar, Mohd Rosly Mohd Saupi dan
Kamal Awang Besar sebagai defendan.
Ahmad Sarbaini, 56, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat
satu pejabat SPRM itu selepas terjatuh pada 6 April, 2011, selepas
beliau cuba menarik balik kenyataan yang dibuat kepada SPRM.
Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu
pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62
pegawai kastam.
Pegawai kanan kastam itu disiasat atas dakwaan rasuah dan pengubahan
wang haram dalam operasi anjuran bersama oleh SPRM, Lembaga Hasil Dalam
Negeri, Jabatan Kastam dan Bank Negara di Pulau Pinang, Johor, Selangor
dan Pahang.
Kematian Ahmad Sarbaini di premis SPRM berlaku setahun enam bulan selepas kematian Teoh.
Teoh, seorang pembantu politik DAP, meninggal dunia di ibu pejabat SPRM di Shah Alam selepas disoal-siasat oleh anggotanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan