Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
SHAH ALAM: Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar
tidak boleh dijadikan ukuran untuk Parti Amanah Negara (PAN) 'berdiri
sama tinggi, duduk sama rendah' dengan PAS.
Demikian dinyatakan penganalisis politik, Dr Muhamamd Asri Mohd Ali
sambil menambah PAN masih 'mentah' dalam politik Malaysia, apatah lagi
tidak mempunyai ramai ahli-ahli.
"Sama ada PAN mampu menyaingi PAS atau tidak, ini bergantung atas
banyak faktor. Berdasarkan senario yang kita ada, seperti kerusi di luar
bandar lebih banyak berbanding di bandar, saya tidak fikir PAN boleh
menyaingi PAS sebab kekuatan PAS berada di luar bandar.
"PAN hanya akan menang jika diberi tempat oleh DAP untuk bertanding di
kawasan campuran. Itu pun jika PAS bertanding dan wujud pertandingan
tiga penjuru, saya tak nampak PAN akan menang sebarang kerusi dalam PRU
akan datang, dengan mengambil kira suasana dua PRK ini, kerana adanya
pecahan undi di kalangan pembangkang," katanya ketika dihubungi
Antarapos, hari ini.
Bukan itu sahaja, Muhammad juga menyatakan kesukaran bagi PAN mendapat
pengaruh dikalangan masyarakat, terutama pengundi Melayu-Islam
memandangkan PAS lebih berjaya membawa dua imej berkenaan.
"Rata-rata pemimpin PAN tidak berlatar-belakangnya pendidikan agama,
seperti Mat Sabu, Salahuddin. Jadi dalam konteks ini agak sukar untuk
PAN membawa aliran Islam yang dapat menyentuh hati dan menawan minda
pengundi Melayu," ujarnya lagi.
Pertaruhan PAN di dua pilihan raya kecil semalam menyaksikan parti itu
memperolehi 7,609 undi di Sungai Besar dan 4,883 undi di Kuala Kangsar.
Kedua-dua jumlah undi itu dilihat agak jauh ketinggalan dengan jumlah yang diperolehi dua calon Umno yang menang semalam.
Muhammad juga berpendapat PAN, walaupun mempunyai bekas pemimpin PAS,
ia masih gagal membuatkan masyarakat menaruh harupan terhadapnya.
"Pengundi di luar bandar, terutama penyokong PAS, melihat politik ini
seperti agama, bukan boleh alih undi sembarangan. Dalam konteks ini, PAN
hanya dapat undi dari golongan muda, termasuk pengundi kaum Cina,"
katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan