KUALA KANGSAR: Datin Mastura Mohd Yazid yang menang pilihan raya kecil
(PRK) kerusi Parlimen Kuala Kangsar baru-baru ini, berjanji akan
memastikan kehendak penduduk Kuala Kangsar yang terdahulu, dapat
diteruskan dan diselesaikan segera.
Mastura yang masih dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari
berkata: "(Sebagai wakil rakyat yang baharu) Saya perlu berkerja keras
kerana saya tidak ada masa banyak untuk selesaikan pelbagai perkara,"
katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Khidmat Masyarakat
Parlimen Kuala Kangsar di sini Khamis.
Mastura, 55, yang merupakan balu Anggota Parlimen sebelum ini, Datuk
Wan Mohammad Khair-il Annuar Wan Ahmad berkata terdapat pelbagai agenda
yang telah dirancang.
"Antaranya melawat tapak bagi pembinaan pusat latihan Lembaga Minyak
Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) sebagaimana dijanjikan arwah Wan Mohammad
Khair-il (bekas Pengerusi MPOB) sebelum ini," katanya.
Menyentuh tentang status dirinya yang masih dalam edah, Mastura berkata
beliau telah mendapatkan pandangan dan panduan daripada Mufti Perak Tan
Sri Dr Harussani Zakaria dalam menjalankan tugas.
"Menurut mufti, sekiranya saya perlu berkhidmat atau yang memerlukan
saya ke arah usaha-usaha itu maka saya dibenarkan untuk keluar, tetapi
ada perkara-perkara seperti meraikan kemenangan, itu tidak dibenarkan.
"Perkara yang memerlukan saya ke pejabat dan melihat semula semua
perkara yang hendak diusahakan seperti janji-janji saya kepada rakyat ia
perlu ditepati," katanya.
Mengenai lawatannya ke Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Kangsar
Mastura berkata beliau sangat terharu kerana berada di pejabat arwah
suaminya.
"Inilah bilik Allahyarham dan ia kini menjadi satu tanggungjawab amat
besar bagi diri saya untuk mengorak satu perjalanan memberikan khidmat
bakti untuk orang Kuala Kangsar," katanya.
Dalam PRK Kuala Kangsar 18 Jun lalu, Mastura menang dengan mengetepikan tiga calon lain setelah memperoleh majoriti 6,969 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan