KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad
Al-Bakri berpendapat calon BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen
Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid yang sedang dalam iddah boleh
menggunakan alternatif lain untuk berkempen.
Beliau berkata pada zaman kini banyak teknologi maklumat yang boleh
diguna pakai untuk menyampaikan matlamat, buah fikiran dan kempen.
"Begitu juga banyaknya wakil dan petugas yang boleh mengambil alih
tugasan seseorang wanita dalam keadaan iddah yang perlu dihormati,"
katanya dalam kenyataan bertajuk 'Hukum Wanita Beriddah Menyertai Kempen
Pilihan Raya' yang dimuat naik di laman portal rasmi Pejabat Mufti
Wilayah Persekutuan.
Katanya, bersandarkan kepada pendapat majoriti ulama dalam kalangan
imam empat mazhab, perempuan dalam keadaan iddah hanya boleh keluar dari
rumahnya jika wujudnya keperluan atau harus beserta kriteria.
Oleh itu, Mastura perlu mengikut kriteria yang ditetapkan iaitu tidak
keluar rumah dengan sewenang-wenangnya tanpa hajat, dan hendaklah juga
menjaga auratnya di luar rumah.
Zulkifli berkata adalah lebih baik sekiranya (Mastura) dapat mewakilkan
kepada kaum keluarga seperti anak-anak ataupun rakan-rakan lain.
"(Beliau perlu) menjaga tatasusila dan adab ketika berkabung serta
menjauhkan diri daripada perkara yang membawa kepada fitnah," katanya.
Katanya, berdasarkan pendapat para ulama dibolehkan memberi kelonggaran
(rukhsah) buat orang yang beriddah untuk keluar dari rumah meskipun
terdapat tegahan dan larangan dari nas (ayat al-Quran) dan kelonggaran
yang diberikan itu adalah yang berkait dengan hajat dan maslahah
(memelihara tujuan syarak dan menghindarkan kemudharatan) perempuan
beriddah.
Katanya, antara yang boleh dikategorikan sebagai hajat dan juga
maslahah adalah seperti keluar untuk bekerja dan membeli barangan rumah
yang penting seperti makanan dan minuman (sekiranya tiada orang lain
yang boleh membantunya seperti anak-anak melainkan dirinya).
Selain itu, keluar untuk menghadiri kuliah atau kelas bagi mereka yang
belajar (yang mana jika dia tidak menghadiri kelas sepanjang tempoh
iddah tersebut akan memberi kesan kepada pelajarannya), katanya.
Mastura perlu menjalani tempoh iddah selama empat bulan 10 hari susulan
kematiannya suaminya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, 5 Mei
lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan