Tiada bayaran dikenakan tetapi pengunjung
dialu-alukan menderma wang, darah, buku atau bacaan ayat-ayat al-Quran
kepada penganjur.
PETALING JAYA: Sebuah masjid di Indonesia menganjurkan pesta jazz bagi menunjukkan toleransi agama yang diamalkan umat Islam serta menggalakkan lebih ramai pemuda mengambil bahagian dalam aktiviti masjid.
Masjid Cut Meutia di Cikini, tengah Jakarta memecah tradisi dengan membenarkan penganjuran Pesta Jazz Ramadan 2016 oleh Pemuda Islamik Masjid Cut Meutia (Ricma) dengan kerjasama portal jazz, wartajazz.com di perkarangan masjid itu.
Jakarta Post memetik Pengerusi Ricma, Mochamad Deo Saputra, 23, sebagai berkata acara muzik itu bertujuan membuktikan Islam adalah agama damai yang mengalu-alukan sesiapa sahaja tanpa mengambil kira latar belakang mereka.
“Kami mahu menunjukkan toleransi agama berlaku di masjid ini,” katanya yang menambah seorang sukarelawan beragama Kristian turut diterima penganjur bagi membantu pesta selama dua hari bermula Jumaat lalu.
Menurutnya, acara tahunan yang memasuki tahun keenam itu tidak mengenakan bayaran, sebaliknya pengunjung dialu-alukan menderma wang, darah, buku atau bacaan ayat-ayat al-Quran.
“Mereka menjalankan projek untuk merakamkan bacaan ayat-ayat al-Quran. Pengunjung boleh menyumbang dengan memberi rakaman ayat-ayat al-Quran yang dibacakan mereka sendiri,” katanya.
Penganjur turut bekerjasama dengan Palang Merah Indonesia bagi memudahkan pengunjung menderma darah manakala buku-buku yang disumbangkan orang ramai akan diserahkan kepada anak-anak yatim di Depok, Jawa Barat.
Wang tunai yang diterima daripada pengunjung pula akan diagihkan kepada anak-anak angkat Masjid Cut Meutia.
Pemuzik dan kumpulan jazz terkenal seperti Idang Rasjidi Quintet, Maliq & d’Essentials, Dira Sugandi dan Barry Likumahuwa turut menyertai pesta muzik itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan